Ratib Al-Haddad kecerdasan kreativiti

Ayuh dapatkan buku Tradisi Ratib Al-Haddad Di Alam Melayu oleh Abdul Razak Abdul Rahmanuntuk bacaan lanjut.
Ayuh dapatkan buku Tradisi Ratib Al-Haddad Di Alam Melayu oleh Abdul Razak Abdul Rahmanuntuk bacaan lanjut.
A
A
A

DI NUSANTARA, Ratib al-Haddad sangat terkenal, dan diamalkan banyak negara. Malahan telah banyak dilakukan kajian mengenainya. Namun, dalam dunia kreativiti dan persuratan Melayu tanah air hal ini perlu disebar luaskan.

Ratib al-Haddad merupakan zikir yang disusun oleh ulama Yaman, iaitu Habib Abdullah Alwi al-Haddad yang akhirnya masuk ke Nusantara.

Ulama berasal dari Hadramaut, Yaman ini merupakan agamawan yang terkenal di ranah kelahirannya. Banyak hasil tulisannya dijadikan rujukan dalam mengembangkan Islam di Yaman.

Ratib al-Haddad dinikmati di Pattani hasil daripada usaha ulama-ulamanya, iaitu Syaikh Daud; Abdullah al-Fathani, dan berkembang di ranah Darul Iman juga. Tokku Paloh, ulama Terengganu yang berusaha membawa Ratib al-Haddad dalam memperkukuh tauhid penduduk setempat.

Apakah istimewanya Ratib al-Haddad ini dalam membentuk kecerdasan, khususnya membangunkan kreativiti dalam persuratan Melayu? Malahan artikel yang ditulis Wan Mohd. Shoghir Wan Abdullah al-Fathani, iaitu Syarh Ratib al-Haddad - Dari Yaman ke Dunia Melayu; antara yang menarik untuk diteroka.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Indonesia, dan di Malaysia, Ratib al-Haddad mempunyai keistimewaan dalam mendorong Muslim memperkukuh agamanya.

Hal ini demikian kerana himpunan zikir ini diambil daripada surah-surah pilihan dalam al-Quran. Ia bersesuaian dipraktiskan untuk pelbagai rawatan kerana al-Quran merupakan syifa’ (penyembuhan), khususnya menyembuh kekacauan jiwa.

Hari ini, masyarakat diasak dengan kerencaman masalah sosial khasnya dalam kalangan anak muda. Malahan dengan munculnya karya yang bercorak erotis sekali gus penggunaan bahasa slanga, dan berbaur lucah jelas menunjukkan kepunahan jiwa remaja dalam memahami kreativiti dalam karya masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Fenomena novel erotis sejak akhir-akhir ini amat menjengkelkan, dan membawa impak yang negatif dalam dunia penerbitan tanah air.

Kecenderungan anak muda untuk membeli, dan membaca karya sebegitu rupa memudaratkan jiwa yang baharu tumbuh, dan kelak bakal menerajui kepemimpinan negara.

Justeru, peri pentingnya kecerdasan kreativiti menurut pandangan Islam untuk menangkis kebobrokan yang bermaharajalela. Perihal kemulukan yang bersifat fitrah milik Muslim sewajarnya dipertahan, dan diperluas.

Musabab itu antara kecerdasan kreativiti yang boleh diamalkan pengarang adalah dengan zikir Ratib al-Haddad.

Amalan Ratib al-Haddad sebagaimana termaktub dalam kajian yang dilakukan beberapa sarjana Islam jelas menunjukkan penyucian jiwa untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada ALLAH SWT.

Malahan perkataan “ratib” menurut ahli bahasa Arab bermaksud “kukuh”, dan “tetap”, manakala daripada segi istilah membawa pengertian sebagai “tartibul-harsi lil himayah” (penjagaan secara rutin untuk melindungi sesuatu atau seseorang).

Maka dalam konteks kreativiti, zikir Ratib al-Haddad berupaya membangunkan jiwa seterusnya kecerdasan fikiran seseorang pengarang untuk menghasilkan karya yang jernih, dan suci bersandarkan akal yang waras, dan warak.

Maka dengan ini dapat membantu pengarang untuk bersiap siaga memilih bahan bacaan yang bermutu sebagai penyampaiannya dalam penulisan.

Apabila para pengarang terlebih dahulu memilih bahan bacaan yang muluk ketimbang bobrok untuk makanan jiwanya, maka mendorong menyampaikan perutusan yang mulia dalam penghasilan karyanya pula.

Berdasarkan amalan zikir Ratib al-Haddad yang sering dialunkan setiap hari, berupaya membentuk keperibadian mulia khususnya pengarang untuk menghasilkan karya bernuansa Islami.

Kisah-kisah daripada ibrah kalamullah misalnya dapat ditangani dengan kecerdasan kreativiti yang mendukung kepada estetika tauhid, kebenaran (al-Haqq), kebaikan (al-Khayr) dan keindahan (al-Jamal) ALLAH SWT. Roh kepengarangan sebagai Muslim yang menjunjung Islam, dan menjulang akidah dengan asmaul husna keagungan Yang Maha Pencipta.

Malahan ini sekali gus dapat membezakan antara kreativiti Barat dengan Islam yang berpaksikan keyakinan dan pergantungan kepada ALLAH SWT.

Senarai nama Tuhan, iaitu mukjizat asmaul husna yang digagaskan dalam al-Quran jelas menunjukkan bahawa keistimewaan yang diperoleh manusia di muka bumi. Terhindar daripada kesulitan, kegalauan, dan sebarang ancaman mala petaka sekiranya setiap hari melazimi zikir Ratib al-Haddad.

Antara surah yang terhimpun dalam Ratib al-Haddad adalah al-Fatihah, al-Hijr (15: 87), al-Baqarah (2: 285-286), al-Nisa’ (3: 106), Hud (11: 90), al-Ikhlas, al-Falaq, an-Nas, beserta dengan beberapa hadis Nabawi yang sahih bersesuaian dengan penyembuhan jiwa.

Berdasarkan zikir Ratib al-Haddad mengasuh sahsiah agar sentiasa mengawal diri daripada melakukan perkara yang dilarang dalam agama, malahan mengatur kehidupan dengan bimbingan Islam yang syumul.

Selain itu, zikir ini juga mengajak manusia membimbing hati agar tidak terpedaya dengan tipu daya dunia malahan menghiasi diri dengan wangian iman, dan takwa sepanjang masa.

Maka ini bersesuaian dengan pembentukan perilaku seseorang pengarang kreatif yang akan menuangkan kisah masyarakat dalam karyanya bertunjangkan kecerdasan kreativiti ke arah perkara terpuji berbanding perihal keji.

Draf penulisan, dan kraf pelaksanaan sesebuah karya kreatif amat penting dilakarkan, setelah kecerdasan kreativiti menyelinap dalam diri seseorang pengarang dengan naungan zikir Ratib al-Haddad.

Kecerdasan kreativiti yang bersandarkan zikir Ratib al-Haddad mengajak manusia mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta dengan gugusan keyakinan yang tinggi

terhadap keagungan asmaul husna merupakan pasak dalam mengharungi cabaran kehidupan.

Dikatakan bahawa pengaruh Ratib al-Haddad di Alam Melayu selain di Terengganu, turut menjalar ke Johor dan lain-lain. Ayuh dapatkan buku Tradisi Ratib Al-Haddad Di Alam Melayu (Abdul Razak Abdul Rahman, Akademi Jawi Melayu, 2021), untuk bancan lanjut.

Ungkap tokoh termasyhur ini: “Beramallah sebanyak mungkin, dan pilihlah amal yang dapat kamu kerjakan secara berkesinambungan (mudawamah). Jangan remehkan satu amal pun yang pernah kau kerjakan, meskipun ia hanya kalimat tahlil (la illaha illah) atau tasbih (subhanallah), kerana amal yang kau remehkan itu yang menyebabkanmu memperoleh reda ALLAH.”

*Profesor Madya Dr Kamariah Kamarudin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia selain Penyelidik Bersekutu di Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), UPM