Man On The Run: Belum ada sebarang keputusan berhubung permohonan Najib - Fahmi

Fahmi Fadzil. Foto Bernama
Fahmi Fadzil. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar arahan dikeluarkan kepada Netflix untuk menurunkan serta melarang tayangan dokumentari Man on the Run.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ini memandangkan perkara itu melibatkan kes mahkamah yang masih berjalan.

"Ada beberapa pandangan awal yang telah disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tetapi saya rasa ia perlu diberikan beberapa pertimbangan yang berlandaskan undang-undang kerana ia melibatkan kes mahkamah.

"Jadi saya akan adakan pertemuan dalam masa terdekat dengan MCMC terutamanya bagi meneliti aspek perundangan sebelum kita boleh buat pengumuman lanjut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni seramik Raaqoo Life Magnified-The Main Show oleh Adil Ghani di sini hari ini.

Baru-baru ini, peguam Najib memohon supaya kerajaan mengarahkan perkhidmatan aplikasi penstriman itu supaya menurunkan serta melarang tayangan dokumentari tersebut yang mempunyai kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tetuan Shafee & Co mendakwa dokumentari itu, yang ditulis serta diarahkan oleh Cassius Michael Kim, adalah subjudis dan memudaratkan pembelaan Najib dalam perbicaraan kes 1MDB yang masih berjalan.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, beliau akan berbincang dengan Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative) untuk mengenal pasti seniman tempatan yang boleh diketengahkan untuk mengeluarkan hasil seni istimewa dan boleh dijadikan cenderahati rasmi untuk kegunaan kerajaan.

"Sebelum ini, kita ada beberapa cenderahati yang mungkin kita biasa gunakan tapi untuk tahun ini, mungkin saya minta pasukan di kementerian pertimbang mengapa kita tidak cari seniman tempatan untuk kita hasilkan beberapa cenderahati khas untuk acara yang istimewa.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan bincang dengan MyCreative yang banyak membantu seniman tempatan bagaimana kita boleh usahakan cenderahati seperti ini. Ini antara lain sebagai tanda sokongan (kepada seniman tempatan)," katanya. - Bernama