JKN Johor akan memastikan bekalan insulin penfill tidak terjejas

Kenyataan yang dimuat naik oleh pengguna laman Facebook berkenaan
Kenyataan yang dimuat naik oleh pengguna laman Facebook berkenaan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri (JKB) Johor akan mengambil inisiatif membuat pinjaman dari hospital lain bagi menampung bekalan insulin kepada pesakit yang menerima rawatan di klinik dan hospital kerajaan negeri ini.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, usaha itu juga adalah perancangan jangka pendek sementara menunggu pesanan tertunggak daripada pembekal.

Menurutnya, gangguan bekalan itu menyebabkan semua hospital kerajaan di Johor termasuk Hospital Segamat dan hospital kerajaan di seluruh negara terjejas.

“Sehingga 5 Disember lalu, JKN Johor masih belum menerima bekalan bagi pembelian insulin penfill dengan jumlah kuantiti tertunggak sebanyak 57,695 kotak (sekotak bersamaan lima

penfill) bernilai kira-kira RM1.8 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, pihak hospital di seluruh negeri ini juga akan membuat pembelian insulin dalam bentuk vial bagi menampung kegunaan pesakit yang terjejas.

“Kita mempunyai perancangan ini sementara menunggu pesanan tertunggak daripada pembekal, CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd dan Biocon Sdn Bhd.

“Dimaklumkan, pembekal juga memberi jaminan bahawa kesemua pesanan tertunggak akan dapat dibekalkan sepenuhnya bermula Februari 2020,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menerima makluman mengenai perkara ini kerana pembelian insulin itu juga di bawah kontrak pusat dan diselia sepenuhnya oleh kementerian itu.

“Pihak kami akan berusaha sebaik mungkin bagi menjamin bekalan kepada pesakit tidak terputus. Pesakit boleh berhubung terus Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor di talian 07-2355120 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Terdahulu, seorang pelayar Facebook, Asking Bashkaran membuat satu kenyataan berhubung aduan pesakit yang kini diarahkan untuk membeli alat suntikan insulin di farmasi swasta.