'Selamat berkhidmat' - Ahmad Zahid

Tangkap layar hantaran Ahmad Zahid di Facebook pada Ahad.
Tangkap layar hantaran Ahmad Zahid di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dipilih menerajui parti berkenaan bagi sesi 2023-2026.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, jawatankuasa pimpinan nasional parti itu diharapkan dapat terus memperkasa dan memangkin agenda Kerajaan Perpaduan serta Malaysia Madani.

“Kerjasama yang dirai antara parti dalam kerajaan diharap akan lebih kukuh, erat dan serasi bagi memastikan sebuah politik yang stabil dalam memacu kemajuan negara.

“Selamat berkhidmat,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Datuk Seri Mohamad Sabu berjaya mempertahankan jawatan sebagai presiden selepas pemilihan kepimpinan parti itu yang diadakan di Konvensyen Nasional Amanah 2023 di salah sebuah hotel dekat Klang pada 23 dan 24 Disember lepas.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan tersebut bergandingan dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Tiga jawatan Naib Presiden pula masing-masing diisi Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud dan Adly Zahari.

Perlembagaan parti terbabit menetapkan kedudukan lima jawatan tertinggi termasuk presiden ditentukan secara konsensus oleh 27 pimpinan tertinggi yang dipilih oleh perwakilan.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan perlembagaan berkenaan, seseorang hanya boleh menjadi presiden selama tiga penggal berturut-turut.

Difahamkan, pemilihan kali ini juga merupakan penggal terakhir bagi Ahli Parlimen Kota Raja itu menerajui parti serpihan Pas tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!