[VIDEO] KEB 2024 bukan sekadar kongres, kaji kegagalan bumiputera

A
A
A

PONTIAN - Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang akan dilaksanakan pada bulan hadapan diharap akan mengenal pasti langkah melahirkan lebih ramai usahawam dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kongres berkenaan diharap tidak sekadar menjadi kongres tetapi juga perlu mencari jalan mengatasi kegagalan ekonomi bumiputera selama ini.

Beliau yang juga Ahli Jawatabkuasa Induk KEB 2024 berkata, kongres berkenaan boleh dijadikan landasan utama memperkasakan semula sekali gus meningkatkan ekonomi orang Melayu dan golongan bumiputera.

"Senarai jutawan Malaysia yang dikeluarkan Forbes tahun lalu menunjukkan, hanya ada tiga org Melayu bumiputera di dalamnya iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim.

"Saya kesal, bagaimana bangsa 70.1 peratus iaitu bumiputera di Malaysia ini hanya ada tiga dalam senarai berkenaan. Ini menandakan kegagalan kita dalam meningkatkan ekonomi bumiputera dan ini kita kena akui dalam berhadapan KEB 2024 yang dilaksanakan oleh UMNO dan Kerajaan Perpaduan pada hujung bulan ini.

"Kongres bukan sekadar kongres tapi sepatutnya boleh melahirkan orang Melayu dan bumiputera yang boleh berjaya dalam bidang keusahawanan dan ekonomi negara," katanya.

Ahmad ( tengah) merasmikan Sahabat Ar Rahnu Pontian, di Pusat Perdagangan Pontian pada Sabtu.
Ahmad ( tengah) merasmikan Sahabat Ar Rahnu Pontian, di Pusat Perdagangan Pontian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sahabat Ar Rahnu Cawangan Pontian, di sini, pada Sabtu

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Koop Sahabat, Mohd Najib Mohd Noor.

KEB 2024 dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac depan, akan mencipta usaha memperkasa bumiputera dalam soal teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, KEB akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) juga akan menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda bumiputera.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, Pengerusi Bersama KEB 2024, Ahmad Zahid dan Rafizi Ramli yang juga Menteri Ekonomi, akan mengumumkan topik perbincangan pada kongres itu kelak.

"Sudah ada 10 kluster topik perbincangan ditetapkan untuk KEB 2024 dan ia akan diumumkan Pengerusi Bersama kongres nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mencadangkan agar pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadikan kerjaya usahawan pilihan utama.

"Bukan sahaja lebih 400,000 lepasan SPM malah ratusan ribu lepasan bumiputera membabitkan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, ijazah mahu pun lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) perlu digalakkan supaya budaya makan gaji tidak dijadikan pilihan utama kerjaya mereka.

"Keusahawanan perlu dijadikan pilihan utama kerjaya, barulah kita boleh menguasai ekonomi. Jika tidak entah berapa puluh tahun lagi kongres, ekonomi bumiputera akan kekal seperti itu berbanding kaum lain," katanya.