Tun M dakwa Najib penyebab orang Melayu berpecah

Dr Mahathir (kiri), Najib
Dr Mahathir (kiri), Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak penyebab kepada perpecahan orang Melayu kerana mengamalkan politik wang.

Dakwa beliau, tindakan secara terbuka bekas Ahli Parlimen Pekan itu dalam mengutamakan wang semata telah menyebabkan kedudukan UMNO merosot.

“Ketika saya jadi Perdana Menteri, kita tidak pernah kalah atau kurang daripada dua per tiga majoriti. Masa itu, UMNO masih kuat sehingga MCA dan MIC menyokong. Kita jadi satu kerajaan yang kuat.

“Apabila Najib jadi Perdana Menteri, dia secara terbuka kata ‘cash is king’. Itu bukan perjuangan UMNO. Perjuangan UMNO adalah kerana bangsa, agama, negara.

“Bila Najib kata 'cash is king', ia seolah-olah tunjuk rasuah itu okey. Itu saya tidak boleh terima.

"Sebab itu saya tidak boleh sokong Najib kerana dia penyebab berlakunya perpecahan dan merosotnya UMNO sehingga dapat 80 (kerusi), 90 turun 50 hingga 26,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Podcast Keluar Sekejap Episod ke-65 yang dihoskan oleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Hamdan pada Isnin.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu, selepas meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau sebenarnya berharap agar pemimpin berikutnya meneruskan dasar-dasar yang telah dirangka.

Artikel Berkaitan:

“Apabila saya letak jawatan, saya harap dasar-dasar menyatupadukan orang Melayu yang menjayakan negara akan diteruskan.

“Bagaimanapun, apabila saya letak jawatan, dasar itu semua digugurkan dan diutamakan perkara yang lain kononnya tidak mahu nampak warisan daripada saya,” ujarnya.