Permohonan LPS terhad kepada bas ekspres ekonomi, tak melebihi usia 10 tahun - APAD

Permohonan LPS Perayaan yang dibuka mulai 15 Januari hingga 5 Februari 2024 adalah terhad kepada perkhidmatan bas ekspres ekonomi dan tidak melebihi had usia 10 tahun. Gambar fail Bernama
Permohonan LPS Perayaan yang dibuka mulai 15 Januari hingga 5 Februari 2024 adalah terhad kepada perkhidmatan bas ekspres ekonomi dan tidak melebihi had usia 10 tahun. Gambar fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan yang dibuka mulai 15 Januari hingga 5 Februari 2024 adalah terhad kepada perkhidmatan bas ekspres ekonomi dan tidak melebihi had usia 10 tahun, demikian menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan APAD pada Sabtu, agensi itu memaklumkan permohonan berkenaan turut tertakluk kepada beberapa syarat iaitu membenarkan permohonan LPS kepada bas ekspres yang dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) serta mematuhi dasar dan spesifikasi bas ekspres.

"Bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) VR1 Khas (Kod 9009) juga dibenarkan untuk memohon LPS,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata, APAD akan membuka permohonan LPS yang sah laku bagi tempoh 7 hingga 18 Februari.

Langkah itu bertujuan menampung permintaan bas yang tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Agensi itu berkata, pihaknya mempelawa semua pengendali bas yang berminat untuk mengemukakan permohonan yang lengkap dan mematuhi semua syarat ditetapkan di semua Pejabat Wilayah dan kaunter APAD di Semenanjung Malaysia.

"Pihak APAD sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik setiap masa dan sokongan berterusan semua pihak amatlah diharapkan,” menurut APAD. - Bernama

Artikel Berkaitan: