X

Kindly register in order to view this article
!

JKNS keluar 150 notis kesalahan merokok di premis makanan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 150 notis kesalahan dengan nilai kompaun bernilai RM30,750 dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sehingga semalam ke atas individu yang dikenal pasti merokok di premis makanan.

Menerusi jumlah itu, tujuh notis kesalahan adalah melibatkan Orang Belum Dewasa dan salah seorang daripadanya turut didapati memiliki rokok elektronik.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, di samping itu, 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM5,000 turut dikeluarkan kepada pemilik premis.

"18 notis daripada notis kesalahan yang dikeluarkan kepada pemilik premis adalah atas kegagalan mereka mempamerkan tanda larangan merokok dan dua lagi notis kerana menyediakan kemudahan merokok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Perokok degil dikenakan kompaun

Mengulas lanjut, Khalid berkata, bagi pihak yang menerima notis kesalahan kerana merokok di premis makanan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 manakala bagi Orang Belum Dewasa pula sebanyak RM50.

Beliau berkata, pihak yang melakukan kesalahan pertama boleh mendapat pengurangan bayaran dengan jumlah RM150 jika menjelaskannya di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh satu bulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

"Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun.

Larangan merokok 2020 nyata lebih 'garang'

"Namun bermula Julai tiada lagi tawaran kompaun sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil," katanya.

Tambah Khalid, JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok ini bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Bermula 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mula melaksanakan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Selain itu, penguatkuasaan juga turut dijalankan di bawah Peraturan 12 (1)(a) dan 12(1)(b) PPKHT 2004.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus