Lelaki ditahan terlibat kebakaran rumah Koo Ham

Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
Laporan Sinar Harian pada Rabu lalu. Gambar kecil: Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kebakaran kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya di Ayer Tawar, Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek dianggarkan berusia 30-an itu ditahan sekitar jam 4 pagi di Shah Alam, Selangor pada Jumaat.

"Polis turut merampas dua telefon bimbit. Siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Polis juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian melaporkan bahan letupan dipercayai molotov cocktail menyebabkan kebakaran berlaku di kediaman Koo Ham.

Mohd Yusri memaklumkan, dengan penemuan itu, polis tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, pemimpin DAP tersebut bersama ahli keluarganya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kebakaran hanya melibatkan kemusnahan sebuah kereta Mercedes Benz E300 dan kesan kepanasan kepada dua kenderaan lain iaitu jenis Honda CRV dan Toyota Hilux.