Barcelona tempah perhitungan dengan Real Madrid

Penyerang Osasuna, Moi Gomez dan penyerang Barcelona, Robert Lewandowski cuba merebut bola dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol. Foto AFP
Penyerang Osasuna, Moi Gomez dan penyerang Barcelona, Robert Lewandowski cuba merebut bola dalam aksi separuh akhir Piala Super Sepanyol. Foto AFP
A
A
A

JARINGAN Robert Lewandowski dan Lamine Yamal pada separuh masa kedua membolehkan Barcelona menang 2-0 ke atas Osasuna, awal pagi Jumaat untuk menempah pertemuan Clasico menentang Real Madrid pada Piala Super Sepanyol.

Pasukan Catalan itu menewaskan Real Madrid pada perlawanan akhir tahun lalu dan akan berdepan musuh ketat mereka sekali lagi selepas Los Blancos menewaskan Atletico Madrid dalam aksi separuh akhir di Arab Saudi.

“Kami mahu menang, itu DNA kami dan kami sangat bermotivasi. Inilah masanya untuk menunjukkan bola sepak terbaik kami.

"Kami berada dalam satu lagi perlawanan akhir, satu lagi Clasico yang merupakan objektif utama kami - kami tidak bermain permainan yang cemerlang, tetapi permainan yang serius," kata pengendali Barcelona, Xavi.

Menewaskan Real musim lalu dalam perlawanan akhir Piala Super memberikan Xavi Hernandez trofi pertamanya sebagai jurulatih dan meletakkan juara Sepanyol itu pada landasan baik untuk menjulang kejuaraan liga mereka.

Kedua-dua pasukan akan bertempur sekali lagi di stadium Al-Awwal Park di Riyadh dengan Barcelona cuba untuk bangkit daripada persembahan mengecewakan mereka dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kami perlu memperbaiki pasukan. Pasukan ini masih baharu tahun ini dengan banyak perubahan dan anda sentiasa memerlukan masa untuk menambah baik.

“(Anda perlukan masa) untuk membiasakan diri dengan rakan sepasukan anda, dan kami juga mengalami banyak kecederaan. Kami dalam proses dan mengharungi perlawanan akhir menentang Madrid," kata pemain tengah Barcelona, Frenkie de Jong kepada Movistar.

Artikel Berkaitan: