Rancangan Israel musnahkan Gaza datang dari peringkat tertinggi - ICJ

Seorang warga Palestin berkabung atas mayat saudara yang terbunuh dalam serangan Israel di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. Foto AFP
Seorang warga Palestin berkabung atas mayat saudara yang terbunuh dalam serangan Israel di hospital Nasser di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza. Foto AFP
A
A
A

THE HAGUE, BELANDA - Rancangan Israel untuk "memusnahkan" Gaza datang dari "peringkat tertinggi," Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) diberitahu.

Tuntutan itu dibuat oleh peguam Afrika Selatan ketika membentangkan kesnya yang menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Afrika Selatan juga menggesa mahkamah mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Gaza.

Israel - yang akan membentangkan pembelaannya pada Jumaat - telah menolak dengan sekeras-kerasnya tuduhan itu sebagai tidak berasas.

Mahkamah hanya akan memberikan pendapat mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai, walaupun ia sedang diawasi dengan teliti.

Tembeka Ngcukaitobi, seorang peguam untuk Mahkamah Tinggi Afrika Selatan, memberitahu ICJ, "niat pembunuhan beramai-ramai" Israel adalah jelas daripada “cara serangan tentera ini dijalankan."

“Niat untuk memusnahkan Gaza telah dipupuk di peringkat tertinggi negara.

Kanak-kanak menunggu giliran mengambil bantuan makanan di Rafah selepas serangan Israel menyebabkan penduduk Palestin diancam kebuluran. Xinhua.
Kanak-kanak menunggu giliran mengambil bantuan makanan di Rafah selepas serangan Israel menyebabkan penduduk Palestin diancam kebuluran. Xinhua.

“Setiap hari kita melihat peningkatan jumlah nyawa rakyat Palestin yang hilang, kemusnahan harta benda, kehilangan maruah dan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada apa-apa yang akan menghentikan segala penderitaan yang dilalui rakyat Palestin, kecuali perintah daripada mahkamah ini," kata Adila Hassim, peguam yang juga mewakili Afrika Selatan kepada mahkamah.

Dalam keterangannya yang dikemukakan sebelum perbicaraan, Afrika Selatan berkata, tindakan Israel itu "bertujuan untuk membawa kemusnahan sebahagian besar kumpulan kebangsaan, kaum dan etnik Palestin".

Israel akan menawarkan pertahanannya pada hari Jumaat, tetapi sebelum ini berkata tindakannya di Semenanjung Gaza adalah wajar kerana ia bertindak balas terhadap serangan maut Hamas pada 7 Oktober.

Bagaimanapun, semasa bercakap di mahkamah pada Khamis, Menteri Kehakiman Afrika Selatan, Ronald Lamola menegaskan, tiada serangan yang "boleh memberikan justifikasi atau mempertahankan pelanggaran Konvensyen [Genosid] PBB."

Sekurang-kurangnya 21,978 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh sejak Israel menyerang Semenanjung Gaza 7 Oktober lalu. Foto AFP
Sekurang-kurangnya 21,978 rakyat Palestin kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbunuh sejak Israel menyerang Semenanjung Gaza 7 Oktober lalu. Foto AFP

AS komited pertahan Israel

Israel merupakan sebahagian daripada yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948, yang mentakrifkan pembunuhan beramai-ramai dan komited untuk mencegahnya.

Pada Khamis, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membidas sikap hipokrasi Afrika Selatan serta mengkritik negara itu kerana gagal bertindak balas terhadap kekejaman di Syria dan Yemen yang didakwanya dilakukan oleh "rakan kongsi Hamas."

"Hari ini kita melihat dunia terbalik. Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai semasa ia memerangi pembunuhan beramai-ramai.

"Israel memerangi pengganas yang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan," kata Netanyahu.

Dalam perkembangan sama, sekutu Israel, Amerika Syarikat (AS) pula dalam reaksinya berkata, negara itu tidak melihat sebarang justifikasi terhadap dakwaan Afrika Selatan bahawa Israel telah melakukan pembunuhan beramai-ramai.

“Mereka (Israel) mempertahankan diri daripada ancaman yang benar-benar berlaku,” kata jurucakap keselamatan White House, John Kirby.

ICJ ialah mahkamah tertinggi PBB, yang berpangkalan di The Hague di Belanda.

Keputusannya secara teorinya mengikat pihak-pihak dalam ICJ - termasuk Israel dan Afrika Selatan - tetapi tidak boleh dikuatkuasakan.

Pada 2022, ICJ mengarahkan Rusia untuk menggantung serta-merta operasi ketenteraan di Ukraine, namun, perintah itu tidak diendahkan.

Di bawah undang-undang antarabangsa, pembunuhan beramai-ramai ditakrifkan sebagai melakukan satu atau lebih perbuatan dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Di luar bangunan ICJ berlaku kekecohan sehingga menyebabkan polis Belanda terpaksa bergelut untuk memisahkan kumpulan penyokong Palestin dan Israel.

Beratus-ratus orang mengibarkan bendera Palestin berkumpul di luar ICJ, menyeru gencatan senjata.

Penyokong Israel pula memasang skrin yang menunjukkan imej beberapa tebusan masih ditahan di Gaza.

Pita polis merah dan putih telah diletakkan di luar ICJ dalam usaha mententeramkan kepada huru-hara di luar. - Awani