Doping: KBS terus perkasa agensi

Laporan Sukan Sinar berhubung isu doping yang masih membelenggeu arena sukan ketika ini.
Laporan Sukan Sinar berhubung isu doping yang masih membelenggeu arena sukan ketika ini.
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan terus memperkasa beberapa agensi di bawahnya sebagai satu usaha bagi menangani penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu doping yang tampak masih membelenggu arena sukan tanah air.

"Kita sudah nyatakan banyak kali sebelum ini, doping adalah strict liability.

"Atlet tidak boleh hanya beritahu, mereka tidak tahu apa-apa.

"Jadi kita sedang melihat penstrukturan semula agensi-agensi bawah KBS untuk memastikan semua pihak (terlibat menjalankan tugas dengan) efektif.

"Sudah tentu penguatkuasaan, punca kuasa (akan dipertingkatkan) terutamanya dalam high risk sports," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan Tahun 2024 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Khamis.

Hannah berkata demikian ketika diminta menjawab persoalan mengenai cadangan beberapa pihak supaya Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) diberikan 'lebih kuasa' dalam menangani isu doping.

Terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz mencadangkan agar ADAMAS diberikan punca kuasa sebagai usaha memerangi habis-habisan isu doping di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini belum ada penambahan bidang kuasa ADAMAS.

"Kita akan adakan perbincangan dan mewujudkan garis panduan bagi melindungi semua yang terlibat," ujar Hannah.

Pada Rabu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengesahkan atlet lompat tinggi, Ngu Jia Xin digantung dua tahun selepas didapati positif ujian kawalan doping yang dilakukan pada Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tahun lalu.

Jia Xin yang memenangi pingat emas SUkan Malaysia (Sukma) 2022 digantung bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 selaras dengan Peraturan ADAMAS 2021 dan Kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) 2021.

Bagaimanapun, Jia Xin dibenarkan untuk mengemukakan rayuan secara bertulis kepada pihak ADAMAS selewat-lewatnya pada 24 Januari ini.

Mengulas lanjut, Hannah berkata, ADAMAS dan ISN akan terus menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk memberikan 'kesedaran' kepada atlet terhadap bahana penyalahgunaan bahan terlarang.

"Tahun ini kita akan pastikan kursus-kursus pendidikan kepada atlet-atlet diteruskan.

"Ia bukan sahaja dari segi pemakanan, tetapi juga cara mereka kendalikan media sosial.

"Kita ada board (ahli lembaga Majlis Sukan Negara) yang direkrut yang mana semuanya profesional dan mereka akan membantu kita," jelasnya.