PJJ, curang antara punca guru jadi mangsa cerai - Peguam syarie

Fahmi (gambar kecil) dedahkan lima punca utama guru wanita di negara ini menjadi mangsa perceraian berdasarkan kes-kes yang beliau kendalikan di mahkamah.
Fahmi (gambar kecil) dedahkan lima punca utama guru wanita di negara ini menjadi mangsa perceraian berdasarkan kes-kes yang beliau kendalikan di mahkamah.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang peguam syarie mendedahkan lima punca utama guru wanita di negara ini menjadi mangsa perceraian berdasarkan kes-kes yang beliau kendalikan di mahkamah.

Menurut perkongsian Fahmi Ramli, lima punca itu ialah suami meminta melakukan pinjaman peribadi, tanggung nafkah diri sendiri, dipukul dan kerap bergaduh, hubungan jarak jauh (PJJ) serta curang.

“Suami juga suka apabila isterinya merupakan cikgu kerajaan kerana boleh membuat pinjaman peribadi dan ia senang diluluskan.

“Ada suami suruh buat pinjaman disebabkan mahu menjalankan perniagaan, tetapi bila tidak berjaya, isteri pula yang tanggung sampai selepas bercerai.

“Selain itu, isteri terpaksa menanggung nafkah sendiri seperti perbelanjaan rumah, bayar pinjaman, bil-bil utiliti, bahkan keperluan anak-anak,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Menurut Fahmi, pergaduhan yang kerap melibatkan fizikal sehingga boleh menyebabkan anggota badan lebam juga antara punca perceraian yang melibatkan pasangan guru.

Jelasnya, kesan itu boleh dilihat oleh tenaga pengajar lain dan anak-anak murid, lebih-lebih lagi sekiranya dipukul di bahagian mata.

“Malu kalau nak bersemuka dengan mereka tetapi masih ada yang boleh bertahan dan sabar sebab fikirkan soal anak-anak berbanding diri sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Jangan kata cikgu tak pernah kena pukul atau seorang ustaz tidak akan memukul isterinya.

"Tahap pendidikan tak mencerminkan akhlak atau kesabaran seseorang,” tambahnya.

Sementara itu, perkahwinan jarak jauh merupakan perkara biasa yang menyebabkan pasangan berkenaan kurang berkomunikasi antara satu sama lain.

Ujar beliau, pasangan guru sukar untuk mengajar di sebuah sekolah yang sama, kebiasaannya satu negeri tetapi berlainan daerah.

“Ada juga yang isteri kerja guru tetapi suami bekerja di tempat lain.

'Sebulan sekali sahaja berjumpa.

“Masalah PJJ ini adalah kurang berkomunikasi antara pasangan, kesetiaan dan kecuaian nafkah,” ujarnya.

Fahmi turut berkongsi kes perceraian yang melibatkan isteri berlaku curang terhadap suami.

Tambahnya, sepanjang mengendalikan kes tersebut, mesti ada isu curang berlaku kepada seorang isteri yang bergelar cikgu.

“Tapi ada satu kes, suaminya guru yang kantoi curang dan bercinta dengan anak murid berumur 17 tahun.

“Sampaikan dia membawa pelajar itu ke Genting Highlands, sewaktu isterinya yang juga guru balik berpantang di kampung,” katanya.