Suri rumah ramai jadi mangsa keganasan rumah tangga

Gambar hiasan. Gambar kecil: Sasikala Devi
Gambar hiasan. Gambar kecil: Sasikala Devi
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 727 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Selangor sejak Januari hingga Julai tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi berkata, statistik pada tahun lalu merekodkan sebanyak 1,285 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di negeri ini.

"Sebanyak 1,349 kes sama dilaporkan pada 2020, jumlah itu meningkat sebanyak 1,751 kes yang dilaporkan pada 2021," katanya dalam program Bicara Khas di SELANGORfm 100.9 di sini pada Selasa.

Sasikala Devi berkata, kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga berusia 26 tahun hingga 45 tahun.

"Kebanyakan mangsa ialah suri rumah, punca kes mungkin perselisihan faham dalam keluarga sehingga mereka membuat laporan polis.

"Ada juga golongan profesional serta berpelajaran dilaporkan menjadi mangsa.

"Ada kemungkinan segelintir mangsa tidak tampil membuat laporan polis atas sebab tertentu," katanya.

Menurut beliau, keganasan rumah tangga terdiri daripada pelbagai kategori antaranya penderaan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Kita dapat lihat ada kecederaan pada badan mangsa akibat daripada perbuatan pelaku seperti tumbuk, tampar, cekik atau melemparkan objek kepada mangsa.

"Penderaan fizikal itu lebih memudahkan untuk kita mendapatkan bukti serta keterangan mangsa termasuk laporan daripada doktor," katanya.

Beliau berkata, selain itu penderaan emosi seperti melemparkan kata-kata kesat yang mengaibkan atau menjatuhkan maruah individu itu.

"Ini memberi kesan terhadap emosi individu berkenaan, ia dianggap sebagai penderaan atau keganasan rumah tangga," katanya.

Mengulas lanjut, Sasikala Devi berkata, penderaan seksual pula ialah perbuatan seksual tanpa kerelaan mangsa atau melakukan seks yang tidak selamat.

"Selain itu, perbuatan atau tindakan seperti menahan atau mengurung mangsa serta percakapan berbentuk ugutan yang menyebabkan ketakutan terhadap diri mangsa juga boleh dianggap sebagai penderaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa menganggap kes keganasan rumah tangga itu adalah isu peribadi dan tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan.

"Mangsa mungkin tidak berupaya untuk keluar bagi mendapatkan bantuan, mereka perlu mendapatkan pertolongan daripada orang terdekat atau individu yang dipercayai.

"Mangsa boleh mencari individu yang boleh dipercayai seperti kawan karib, ahli keluarga lain atau ibu bapa untuk menceritakan apa yang sedang berlaku," katanya.

Sasikala Devi berkata, mangsa juga boleh mendapatkan bantuan kaunseling daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau menghubungi Talian Kasih 15999.

"Beberapa NGO atau agensi kerajaan menyediakan khidmat kaunseling serta bantuan," katanya.

Beliau berkata, mangsa juga boleh mendapatkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Ia boleh menghalang pelaku melakukan keganasan rumah tangga ke atas mangsa buat sementara waktu dalam tempoh tujuh hari.

"Selepas mangsa membuat laporan polis, mangsa boleh mendapatkan perintah lain seperti Perintah Perlindungan Interim (IPO)," katanya.

Sasikala Devi berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu mengikut Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Selain itu, kita turut menyiasat kes berunsur ugutan, atau khianat terhadap harta mangsa.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 akta sama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!