Hati-hati keluar kenyataan isu sensitif - Saarani

Saarani (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika membuat lawatan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Geological Rock Garden (GRG) Universiti Teknologi Petronas pada Khamis.
Saarani (dua dari kiri) mendengar taklimat ketika membuat lawatan selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Geological Rock Garden (GRG) Universiti Teknologi Petronas pada Khamis.
A
A
A

SERI ISKANDAR - Semua pihak termasuk ahli politik dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam sebarang kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat susulan kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu bukan sahaja isu-isu menyentuh soal agama, kaum dan raja-raja Melayu (3R) tetapi merangkumi isu-isu sensitif yang lain.

Menurutnya, tindakan tersebut penting dalam memastikan keharmonian masyarakat di negara ini.

"Sama ada secara kenyataan bertulis atau menggunakan media sosial atau bercakap jadi kita kena sentiasa berhati-hati.

"Sebab itulah kalau kita nak bercakap ini, biasanya terlebih dahulu kita kena semak dahulu apa yang kita nak cakapkan itu sama ada akan menggores perasaan orang lain. Kadang-kadang kita rasa gembira, rasa bergurau, tetapi orang lain tak dapat menerima gurauan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Geological Rock Garden (GRG) Universiti Teknologi Petronas di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengesyaki kejadian kebakaran rumahnya dipercayai disebabkan kenyataan media mengenai cadangannya menyentuh isu hal ehwal agama Islam yang dibuat sebelum ini.

Media melaporkan kediaman Penasihat DAP Perak itu terbakar pada awal pagi Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian sekitar jam 3 pagi itu bagaimanapun hanya melibatkan garaj kereta di bahagian depan rumah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku akibat perbuatan khianat.

Beliau berkata, siasatan awal dilakukan di lokasi kejadian telah menemui satu botol disyaki mengandungi bahan letupan berkenaan.

Koo Ham sebelum ini dilapor membuat saranan supaya kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Susulan cadangan tersebut, Pengerusi DAP Perak itu mendapat kecaman hebat daripada pemimpin-pemimpin Islam dalam negara.

Dalam pada itu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mempengerusikan MKI turut mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Justeru, Koo Ham tampil membuat permohonan maaf di atas kesilapannya yang mengeluarkan cadangan tanpa usul periksa terlebih dahulu.