Waspada ancaman ulat bulu laut

Dua ekor ulat bulu laut yang dijumpai oleh seorang sukarelawan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Rabu. Foto Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan
Dua ekor ulat bulu laut yang dijumpai oleh seorang sukarelawan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pada Rabu. Foto Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan
A
A
A

KUALA NERUS - Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada ketika beriadah di tepi pantai susulan penemuan dua ekor ulat bulu laut (fireworm) terdampar di pantai di sini, pada Rabu.

Ketua Unit Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan, Dr Izwandy Idris berkata, ulat bulu laut dipercayai daripada spesies Amphinome rostrata (Pallas 1766) itu dijumpai oleh seorang sukarelawan pusat berkenaan ketika berjalan di tepi pantai berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurutnya, bahagian badan ulat bulu laut yang digelar chaetae berbentuk tajam serta rapuh mudah melekat pada kulit apabila disentuh.

"Spesies kumpulan ulat bulu laut ini (Famili Amphinomidae) mempunyai kelenjar bisa (venom gland) yang mana ia boleh memasuki badan melalui luka tusukan chaetae yang patah.

"Gabungan luka akibat chaetae yang patah dan bisa dari kelenjarnya boleh menimbulkan rasa sakit yang kuat, bengkak di tempat yang terkena serta tindak balas alahan, " katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, katanya, pengunjung pantai dinasihatkan agar berhati-hati sekiranya terjumpa A. rostrata atau mana-mana organisma marin yang mempunyai rupa seakan-akan ulat bulu.

Keadaan ulat bulu laut yang dijumpai di tepi pantai berdekatan UMT pada Rabu. Foto Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan
Keadaan ulat bulu laut yang dijumpai di tepi pantai berdekatan UMT pada Rabu. Foto Pusat Rujukan & Repositori Laut China Selatan

"Ulat bulu laut adalah nama panggilan tempatan bagi kumpulan cacing laut (Annelida, Polycheata) yang mempunyai struktur seperti kuku (cheatae) di seluruh badan yang menyerupai ulat bulu.

Artikel Berkaitan:

"Namun, dalam Bahasa Inggeris ia dipanggil fireworm (cacing api) kerana rasa sakit seperti terkena api apabila menyentuh atau memegang haiwan itu.

"Elakkan daripada menyentuh haiwan ini serta jauhkan dari kanak-kanak," katanya.

Izwandy yang juga Pensyarah Biologi, Diversiti dan Ekologi Invertebrat Bentik UMT berkata, haiwan berkenaan dipercayai dihanyutkan ombak yang kuat sehingga terdampar di pantai Terengganu.

"Musim Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Laut China Selatan ketika ini menyebabkan banyak organisma dan benda-benda lain dihanyutkan ke pesisir pantai disebabkan arus dan ombak yang kuat.

"Amphinome rostrata merupakan spesies yang banyak berasosiasi (berhubungan) dengan teritip angsa (Goose Barnacle) yang melekat pada benda hanyut seperti kayu serta sampah laut (marine debris) dan dijumpai di lautan seluruh dunia," katanya.