Liverpool cukup luar biasa

Gandingan Mohamed Salah dan Sadio Mane memastikan Liverpool konsisten melakar keputusan positif. - Foto Premier League
Gandingan Mohamed Salah dan Sadio Mane memastikan Liverpool konsisten melakar keputusan positif. - Foto Premier League
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan pemain The Reds mengharungi saingan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan prestasi cukup luar biasa selepas menewaskan Sheffield United 2-0 pada aksi di Stadium Anfield.

Menurutnya, kemenangan The Reds ke atas The Blades melengkapkan rekod tanpa kalah dalam setahun kelab gergasi Inggeris berkenaan pada saingan liga kompetitif itu.

"Rentetan kemenangan cukup luar biasa ini membuktikan bahawa banyak elemen positif yang terdapat pada para pemain kelab.

"Secara jujur saya tidak mempunyai sebarang kata untuk pencapaian ini selain saya amat gembira dan bangga dengan pencapaian para pemain Liverpool.

"Biarpun begitu kami tidak menerima pencapaian seperti ini begitu saja, sebaliknya perlu berusaha lebih keras lagi," katanya.

Gol daripada Mohamed Salah pada minit keempat dan Sadio Mane (64) memperkukuhkan kedudukan Liverpool di puncak liga dengan 58 mata, 13 mata mengatasi Leicester City di tangga kedua.

Ini adalah kemenangan ke-19 kelab kendalian Klopp itu selepas mengharungi 20 perlawanan musim 2019/20.

Kemenangan itu juga melebarkan rekod tanpa kalah Liverpool dalam 37 perlawanan iaitu 365 hari sejak ditumbangkan Manchester City pada 3 Januari 2019.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun bekas pengendali Borussia Dortmund itu sekali lagi menegaskan sasaran utama beliau adalah ingin menang setiap perlawanan.

"Pencapaian terbaik (tidak tewas selama setahun) tetapi sasaran bukan untuk melebarkan lagi pencapaian ini, tetapi untuk memenangi setiap perlawanan

"Kami tidak memikirkan setahun (tidak tewas). Kami mempunyai misi untuk satu musim bukan misi tahun baru," tegasnya.

Kejayaan mengatasi Sheffield United juga meneruskan momentum kemenangan di laman sendiri kepada 18 kali berturut-turut.

Pada aksi itu juga Liverpool mengekalkan 'clean sheet' kelima berurut-turut di laman sendiri sejak kali terakhir melakukannya pada 2007.