Harimau Malaya mampu 'menyengat'

Barisan pemain negara akan berjuang berhabis-habisan pada aksi pertama menentang Jordan pada 16 Januari ini. - Foto Facebook FAM
Barisan pemain negara akan berjuang berhabis-habisan pada aksi pertama menentang Jordan pada 16 Januari ini. - Foto Facebook FAM
A
A
A
PEMAIN pertahanan negara, Daniel Ting melaungkan keyakinan skuad Harimau Malaya mampu menandingi kehebatan pasukan lain, dalam mengharungi kempen Piala Asia 2023 selepas kejayaan mencatat keputusan seri 2-2 menentang pasukan 100 terbaik dunia, Syria dalam aksi persahabatan, pada Selasa.

Pemain berusia 32 tahun itu mengakui, keputusan berkenaan memberi lonjakan motivasi serta keyakinan diri yang tinggi kepada barisan pemain negara, untuk berjuang berhabis-habisan pada aksi pertama menentang Jordan pada 16 Januari ini.

"Mereka (Syria - berkedudukan ke-91) duduk lebih baik dari Malaysia (130) tetapi saya rasa kami telah tunjukkan walaupun kedudukan jauh, tetapi kita boleh saingi tahap itu dan dengan itu lebih yakin untuk berhadapan Jordan.

"Ia (perlawanan persahabatan) juga bagus untuk kami dapatkan minit permainan pada kami dan sediakan kami untuk perlawanan pertama untuk saingi kecergasan dan uji taktik yang kami sedang usahakan,” katanya menerusi klip audio yang dikongsikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Rabu.

Pemain kacukan Malaysia-England itu berkata, pemilihan pemain hampir sama oleh pengendali Kim Pan Gon pada mana-mana kejohanan sebelum ini, memberi impak positif kepada pasukan apabila mereka mempunyai persefahaman yang tinggi antara satu sama lain.

"Ia (berada dalam pasukan kebangsaan) dikira sebagai pemain terbaik negara, jadi tentunya arasnya sentiasa meningkat dan latihan berintensiti, semua mahu buktikan sesuatu. Dan ini pemain terbaik dari setiap negeri, jadi tentunya arasnya tinggi, jadi ia satu ujian yang bagus,” katanya.



Malaysia yang menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke Piala Asia secara merit akan memulakan kempen Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari, diikuti Bahrain (20 Januari) dan juara dua kali Korea Selatan pada 25 Januari ini.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak untuk pusingan 16 pasukan pada kejohanan di Doha, Qatar itu.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia dalam Piala Asia selepas layak secara merit pada 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan sebagai tuan rumah bersama pada 2007.

Malaysia tidak pernah mara ke pusingan 16 pasukan terbaik dalam Piala Asia, pada tiga edisi sebelum ini.
Artikel Berkaitan:


Ikuti berita dan info terkini mengenai Piala Asia 2023 di asiancup.bernama.com. - Bernama

TAG: bola sepak, Harimau Malaya, Piala Asia 2023