PH laksana pentadbiran 'ikut terlintas': Ahmad Fadhli

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Pakatan Harapan hanyalah sebuah kerajaan yang mengamalkan konsep 'IT' iaitu 'ikut terlintas' apabila dilihat tidak mempunyai pendirian tetap dalam membuat keputusan melibatkan polisi kerajaan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu dibuktikan apabila isu Pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang dijadualkan bermula Januari 2020 namun ditangguhkan sehingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

"Polisi yang dibuat kerajaan kini adalah tanpa kajian terperinci dan tergesa-gesa. Ia berlaku disebabkan oleh sikap kerajaan yang mahu menarik minat dan mendapatkan publisiti rakyat semata-mata.

"Dalam masa yang sama, mereka (kerajaan) tidak sedar apa yang mereka umumkan itu menjejaskan rakyat itu sendiri," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangguhan PSP dan rakyat dikatakan akan terus menikmati harga petrol berdasarkan sistem sedia ada sementara menunggu pengumuman pengesahan pelaksanaan PSP.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerajaan tangguh PSP kerana bimbang kenaikan kos sara hidup rakyat'

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet yang diadakan pada 18 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan dipilih atas populariti ini tidak mempunyai idea yang baik untuk mentadbir negara.

Artikel Berkaitan:

"Oleh sebab itu mereka suka umum polisi. Bila sukar atau mustahil untuk dilaksanakan, mereka akan buat pusingan kembali.

"Ini akan menyebabkan pelabur tidak mempunyai keyakinan untuk melaburkan di Malaysia memandangkan polisi boleh berubah sesuka hati," katanya.