X

Kindly register in order to view this article
!

OKU kudung kaki ternak kambing sara keluarga

Kekurangan bukan halangan buat Shahrin Naim untuk mengusahakan ternakan kambing.
A
A

TUMPAT - Kudung kedua belah kaki bukan alasan kepada seorang lelaki di Kampung Padang Pohon Tanjung, Pasir Pekan, Tumpat mengusahakan ternakan kambing untuk dijual kepada orang ramai.

Shahrin Naim Mohd Saleh, 40, berkata, menggunakan kekurangan itu berlaku sejak dilahirkan dan dia sememangnya menguruskan kehidupan seharian dengan menggunakan sepasang tangannya itu.

“Sejak dari kecil sudah begini, jadi saya terbiasa dan tidak kekok menjalankan kerja-kerja termasuk berjalan menggunakan tangan.

“Saya pun biasa menyarungkan selipar di tangan untuk berjalan dan sudah lali dengan pandangan orang lain yang melihat keadaan saya ini. Saya juga mengusahakan ternakan kambing ini untuk menampung keluarga sendiri daripada mengharap ihsan,” katanya.

Anak keenam daripada 10 beradik itu berkata, enggan meminta simpati daripada orang ramai, dia memulakan penternakan kambing sejak 2018 bermodalkan RM500 sebagai permulaan.

“Sekarang ada 29 ekor kambing dari baka Jamnapari, Seanen dan Boer yang berada dalam jagaan saya, diberi makan dan minum dengan baik serta bersih untuk dijual kepada orang ramai.

“Rutin saya pada setiap pagi, saya akan membersihkan kandang kemudian memberi makan dan memerah susu kambing juga bekalan untuk dijual,” katanya.

Bukan itu sahaja, Shahrin Naim juga mempunyai lesen memandu dan boleh membawa kenderaan jenis kereta yang diubah suai khas untuknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Memberi makan kambing antara rutin yang dilakukan Shahrin Naim setiap hari.
Memberi makan kambing antara rutin yang dilakukan Shahrin Naim setiap hari.

Segala usaha gigih Shahrin itu turut dibantu isterinya, Siti Lailah Mat Hussin, 35, yang dikahwini sejak enam tahun lalu, namun belum kurniakan cahaya mata.

“Isteri terlalu banyak membantu saya menjalankan perniagaan ini dan saya sendiri mahu buktikan kepada semua terutama mereka yang senasib dengan saya bahawa golongan seperti kami pun boleh berjaya dengan usaha gigih.

“Kalau gagal sekali pun kena usaha lagi dan memang sukar kerana kurang upaya berbanding orang normal tetapi perkara itu bukan satu halangan untuk saya menjadi usahawan yang berjaya suatu hari nanti walaupun saya serba kekurangan,” katanya.

Shahrin Naim berkata, seekor kambing ternakannya dijual dengan harga antara RM450 hingga RM1,500 bergantung kepada jenis baka kambing itu, manakala susu kambing pula dijual dengan harga 50 sen sehingga RM3 sebotol.

Selain kambing dan susu, dia turut menjual daging kambing yang siap diperap.

Jelasnya lagi, dia juga mendapatkan nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dalam penjagaan kebersihan dan kawalan penyakit terhadap haiwan itu, selain berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya.

“Satu hari nanti, saya ingin menggunakan khidmat pekerja untuk membantu menjalankan kerja-kerja menjaga kambing ini apabila berkemampuan kelak.

“Usaha saya ini juga diharap menjadi inspirasi buat golongan OKU lain untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus