Budak lelaki maut, bapa saudara parah kemalangan di Langkawi

Motosikal dinaiki mangsa terlibat kemalangan dengan lori tanah di Jalan Chandek Kura, Langkawi, pada Selasa. Foto FB Info Kemalangan Langkawi
Motosikal dinaiki mangsa terlibat kemalangan dengan lori tanah di Jalan Chandek Kura, Langkawi, pada Selasa. Foto FB Info Kemalangan Langkawi
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak lelaki maut, manakala bapa saudaranya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan lori tanah di Jalan Chandek Kura di Langkawi semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada 5.16 petang.

"Kemalangan melibatkan penunggang motosikal Mohamad Iqmal Noor Din, 25, dari Kampung Padang Wahid dan anak saudaranya, Muhammad Wassim Dayyan Amyrul Amry, 11, dari Kampung Bukit Tangga, Langkawi.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang datang dari arah Jalan Batu Belah Batu Bertangkup keluar simpang untuk masuk ke Jalan Chandek Kura,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Shariman berkata, motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah Kuah menghala ke Kampung Chandek Kura tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian tepi belakang sebelah kanan lori.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah di bahagian kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM), manakala penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di kepala dan bahu masih dirawat di hospital yang sama.

"Pemandu lori berusia 51 tahun telah ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati positif dadah jenis ganja dan pemohonan reman akan dibuat. Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: