Budak lelaki lari rumah bongkar didera bapa kandung, ibu tiri

Gambar hiasan - Foto123RF
Gambar hiasan - Foto123RF
A
A
A

JEMPOL - Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki mendera anak lelakinya yang berusia enam tahun dalam kejadian di Bahau pada Selasa.

Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu melarikan diri dari rumahnya setelah tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh pasangan tersebut yang merupakan bapa kandung dan ibu tirinya.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.30 petang sebelum diselamatkan oleh pihak polis.

"Terdapat kesan luka pada bahagian badan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah didera sejak bulan Mac lalu hingga kini, yang mana mangsa telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandungnya menggunakan tangan, senduk kayu, ditendang dan dirotan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Chang Hook berkata, mangsa kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan telah disahkan oleh doktor bahawa mangsa mengalami pelbagai kecederaan.

"Berdasarkan siasatan juga mendapati tiga lagi adik-beradiknya tidak didera, hanya mangsa sahaja," katanya.

Justeru katanya, bertindak atas maklumat sepasang suami isteri berumur 27 dan 31 tahun telah ditahan pada hari sama.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lelaki berkenaan bekerja di kilang kayu manakala isterinya suri rumah telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.