Geng guna parang samun kedai serbaneka berjaya diberkas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat lelaki geng samun kedai serbaneka menggunakan parang yang cuba melarikan diri dengan menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur selepas wajah mereka tular ketika menyamun sebuah kedai di Jalan Tanah Liat, di sini semalam berjaya ditahan polis hari ini.

Empat lelaki berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor pada jam 4 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 11.28 pagi semalam, dua lelaki bertopi keledar telah masuk ke sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Tanah Liat manakala dua lagi rakan mereka menunggu di luar premis bagi memantau keadaan di situ.

"Seorang daripada lelaki itu telah pergi ke peti sejuk dan mengambil sebotol air sebelum menuju ke kaunter yang terdapat seorang juruwang wanita berusia 18 tahun mahu mengimbas harga minimum tersebut, namun suspek tiba-tiba mengacukan parang panjang ke arah remaja berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, dua lelaki itu memaksa juruwang tersebut menyerahkan semua wang yang ada sebelum mereka melarikan diri bersama dua lagi rakan yang berada di luar kedai dengan menaiki dua buah motosikal.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendapati suspek melarikan wang tunai sebanyak RM150 dan pemeriksaan mendapati premis itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang berjaya merakam kejadian itu dan wajah suspek sebelum tular di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, ekoran penahanan mereka, polis merampas sebilah parang panjang, dua buah motosikal serta tiga buah telefon bimbit dan siasatan juga mendapati empat lelaki tersebut turut terlibat beberapa kes samun kedai serbaneka 24 jam sejak tahun lepas bersama seorang lagi rakan mereka yang masih bebas.

Menurutnya, empat lelaki yang menganggur itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: