SIRIM diarah hasilkan pam air atasi isu banjir - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas meninjau PPS di SK Taman Kota Jaya pada Selasa.
Ahmad Zahid (duduk, tengah) pada sidang akhbar selepas meninjau PPS di SK Taman Kota Jaya pada Selasa.
A
A
A

KOTA TINGGI - SIRIM Berhad diminta menghasilkan pam air berkuasa tinggi sebagai langkah penyelesaian masalah banjir termasuk banjir termenung di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, produk tempatan yang dikeluarkan SIRIM Berhad itu kelak, membolehkan kerajaan tidak lagi bergantung kepada pam air berkuasa tinggi yang diimport dari luar negara.

"Ketika melawat Kota Tinggi, Segamat dan Batu Pahat yang dilanda banjir tahun lalu, saya telah meluluskan supaya pam-pam air berkuasa tinggi dibekalkan ke tiga daerah ini.

"Oleh kerana pam-pam ini perlu dibeli mengikut tatacara pembelian kewangan, ia masih belum diterima. Maka, saya minta SIRIM keluarkan produk tempatan dengan pam berkuasa tinggi. Kita tidak perlu import pam-pam ini melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi dan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah diarah menempah 20 unit penapis air daripada SIRIM.

"SIRIM telah mereka bentuk penapis air untuk mendapatkan air bersih. Pada hari ini, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sudah menerima tiga unit pam penapis air.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah minta Nadma untuk menempah 20 lagi unit tambahan untuk digunakan di kawasan terputus bekalan air dan ia juga akan dijadikan stok untuk tujuan kegunaan akan datang," katanya.