Dua anggota polis ditahan kes rogol penuntut asing, samun

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

AMPANG - Dua anggota polis ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan rogol pelajar kolej swasta di Bukit Ampang View, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian jam 10.09 malam itu, mangsa yang merupakan seorang wanita warga asing dan rakan lelakinya warga tempatan, masing-masing berumur 18 tahun berada di lokasi kejadian telah ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Menurutnya, kedua-dua suspek telah bertindak membawa pengadu dan rakannya ke tempat berasingan.

"Dalam kejadian tersebut, salah seorang suspek telah bertindak merogol wanita tersebut, manakala mangsa lelaki pula dibawa ke bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta atas kesalahan lalu lintas," katanya.

Susulan itu kata Hussein, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah menangkap kedua-dua suspek berpangkat Konstable dan Lans Koperal pada Rabu.

"Kedua-dua suspek berusia 24 dan 31 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Dua kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan Seksyen 395/397 akta sama," katanya.

Beliau berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dalam mana-mana kes jenayah ataupun mana-mana salah laku dan siasatan akan dijalankan secara telus.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222 bagi membantu siasatan," katanya.