Bekas penyerang Harimau Malaya 'ditidurkan' akibat jangkitan kencing tikus

Roshidi Shaari, 67 kini ‘ditidurkan’ di ICU Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disyaki terkena jangkitan kencing tikus.
Roshidi Shaari, 67 kini ‘ditidurkan’ di ICU Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar selepas disyaki terkena jangkitan kencing tikus.
A
A
A

BEKAS penyerang Harimau Malaysia dan Kedah era 70-an, Roshidi Shaari, 67 kini ‘ditidurkan’ di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada malam Isnin selepas disyaki terkena jangkitan kencing tikus.

Anak keduanya, Rosyahemi Roshidi, 34, berkata, doktor memaklumkan bapanya perlu diintubasikan selama seminggu disebabkan oleh jangkitan kuman.

Menurutnya, bapanya demam pada Ahad dan mengalami cirit-birit dan serta muntah sebelum isterinya membawa ke HSB pada sebelah malam untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor sahkan bapa alami jangkitan kuman dan perlu diintubasi selama seminggu. Abah setuju untuk ‘ditidurkan’ selama seminggu sebab jantungnya lemah, kalau dia makin baik, doktor akan bangunkan abah dan meneruskan rawatan lain. Sekarang abah bergantung kepada ubat jantung dan mesin oksigen

“Jadi sekarang kami tengah tunggu keputusan daripada doktor tentang pengesahan jangkitan kencing tikus pada petang Selasa. "Apapun kami akan terima dan reda dengan segala keputusan yang akan dimaklumkan oleh doktor,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Selasa.

Sementara itu, bekas jurulatih berpengalaman dan pemain kebangsaan, Mohd Azraai Khor di laman media sosial juga memohon peminat bola sepak tanah untuk mendoakan Roshidi agar sembuh dengan segera.

Menurutnya, Bekas jurulatih Piala Presiden dan Piala Belia Kedah itu pernah menyarung jersi kebangsaan dan memegang rekod pemain termuda dalam arena bolasepak antarabangsa yang diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Mohon sahabat-sahabat dan penyokong doakan sahabat seperjuangan saya di era 70-an bersama pasukan Kedah, saudara Roshidi Shaari yang telah ditidurkan di Wad ICU HSB disyaki Leptospirosis,” tulisnya yang dipetik melalui Facebook pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Selain mengecapi zaman kegemilangan sebagai tonggak utama Kedah, Roshidi juga pernah menjadi Pembantu Jurulatih Hijau Kuning di bawah kendalian Ketua Jurulatih Jourgen Larsen bermula 2001 hingga 2003.