Bursa Malaysia meningkat ke paras 1,500 mata

Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.43 mata kepada 1,500.13 daripada paras 1,495.70 pada akhir dagangan semalam. Foto hiasan
Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.43 mata kepada 1,500.13 daripada paras 1,495.70 pada akhir dagangan semalam. Foto hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka meningkat dalam dagangan awal Selasa, seiring prestasi semalaman Wall Street ketika aktiviti memburu saham-saham berharga rendah kembali rancak selepas tempoh mencabar pada minggu lepas.

Pada jam 9.16 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.43 mata kepada 1,500.13 daripada paras 1,495.70 pada akhir dagangan semalam.

Sewaktu pasaran dibuka, FBM KLCI menokok 1.47 mata pada 1,497.17.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 336 berbanding 180 manakala 360 kaunter lain tidak berubah, 1,343 tidak diniagakan dan 19 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 605.61 juta unit bernilai RM270.02 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata susulan pemulihan Wall Street, saham teknologi menerajui kaunter untung dengan Nasdaq menokok 320 mata manakala Dow Jones naik 217 mata selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun Amerika Syarikat (AS) susut sedikit kepada 4.027 peratus.

Di Hong Kong, katanya, Indeks Hang Seng meneruskan permulaan buruk tahun baharu 2024 apabila merosot 311 mata lagi berikutan prospek untuk China kekal suram.

"Di peringkat tempatan, FBM KLCI sebaliknya meneruskan momentum permulaan yang memberangsangkan bagi tahun ini apabila dana asing terus meningkatkan pegangan dalam ekuiti tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun paras 1,500 mungkin berperanan sebagai rintangan psikologi segera, kami percaya ini sebaliknya akan berakhir dalam masa terdekat ini susulan peningkatan jumlah dagangan harian baru-baru ini," katanya kepada BERNAMA.

Sehubungan itu, Thong menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,490-1,500 pada urus niaga hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata harga minyak mentah merosot berikutan penurunan harga oleh Arab Saudi dalam senario permintaan yang lemah yang menyaksikan minyak mentah Brent turun ke paras US$76 setong.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.09, Public Bank meraih satu sen kepada RM4.37, CIMB meningkat dua sen kepada RM6.05 manakala Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM10.54 dan RM7.22.

Saham aktif menyaksikan Minetech Resources, TWL Holdings dan AHB Holdings naik setengah sen masing-masing kepada 22.5 sen, 4.5 sen dan 14 sen manakala Sarawak Consolidated menambah 3.5 sen kepada RM1.02 dan Hong Seng Consolidated tidak berubah pada tiga sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM 70 naik 53.38 mata kepada 15,187.22, Indeks FBMT 100 meraih 33.56 mata kepada 10,834.92, Indeks FBM Emas Shariah menokok 21.03 mata kepada 11,298.80, Indeks FBM Emas mengukuh 34.99 mata kepada 11,194.37 dan Indeks FBM ACE naik 21.74 mata kepada 5,470.44.

Bagi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.51 mata pada 178.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 70.18 mata kepada 16,739.23, Indeks Perladangan naik 7.17 mata kepada 7,072.90 dan Indeks Hartanah mengukuh 2.92 mata kepada 925.52 namun Indeks Tenaga susut 0.42 mata kepada 848.58. - Bernama