Misi kemanusiaan Palestin: Mesir beri komitmen sokong usaha Malaysia

Kelihatan kepulan asap di Khan Yunis di jalur selatan Gaza semasa pengeboman Israel hari ini di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas. Foto AFP
Kelihatan kepulan asap di Khan Yunis di jalur selatan Gaza semasa pengeboman Israel hari ini di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr bagi berbincang mengenai peranan Mesir dalam menyokong usaha Malaysia terhadap krisis kemanusiaan di Palestin.

Mapim dalam kenyataannya memaklumkan, semasa pertemuan yang disertai Ketua Aktivis Kemanusiaan Mapim, Dr Sani Araby, Ragai turut menjelaskan tentang peranan penting Mesir untuk mencapai gencatan senjata sementara, sekali gus membuktikan komitmennya terhadap keamanan

Menurut kenyataan itu, kejayaan misi membawa keluar rakyat Malaysia Nurul Ain Haron dan suaminya Mohamed A. M. Shaat melalui Rafah tahun lepas menyerlahkan komitmen Mesir terhadap keselamatan dan kesejahteraan individu tanpa mengira kewarganegaraan semasa krisis.

"Sokongan ini dengan tegas menggariskan kepentingan hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir pada masa yang diperlukan,” katanya.

Menurut Mapim, Ragai turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan tidak berbelah bahagi serta bantuan kemanusiaan ke Palestin, selain menegaskan komitmen negara itu untuk menyokong usaha Malaysia memberikan bantuan kepada Gaza.

Kenyataan itu memaklumkan Mesir telah lama menjadi penyokong perjuangan Palestin dan komitmennya bermula sejak 1948, dengan negara tersebut mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai peperangan hingga mengorbankan lebih 106,000 nyawa di Mesir untuk melindungi hak dan menuntut semula wilayah Palestin.

Menurut kenyataan itu, selain memainkan peranan penting dalam rundingan dengan rejim Israel, Mesir juga menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keamanan dan kestabilan di rantau berkenaan.

"Mapim difahamkan bahawa Mesir secara konsisten telah memastikan pintu antara negara itu dan Gaza dibuka sejak 7 Okt. Malah, tindakan Israel memusnahkan bahagian persimpangan Gaza, mendorong jurutera Mesir membina semula jalan itu dan membolehkan laluan selamat bagi bantuan kemanusiaan dunia,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mapim, Op Ihsan yang diuruskan Kementerian Luar mendapat sokongan proaktif daripada Ragai dan lebih 100 tan bantuan berjaya dihantar ke Gaza melalui usaha kolektif lebih 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 800 sukarelawan.

Sementara itu, dalam pertemuan tersebut Sani menyatakan harapan agar hubungan kukuh sedia ada antara Malaysia dan Mesir membolehkan kedua-dua negara bersama-sama memperjuangkan hak asasi manusia serta memastikan akses lancar ke Gaza untuk NGO.

Menurut kenyataan itu, Mapim turut berharap Mesir memberikan sokongan yang lebih besar khususnya dalam membantu NGO untuk sampai ke Gaza dan melaksanakan projek pascaperang berskala besar seperti pembinaan Bandar Wakaf Malaysia-Gaza. - Bernama