X

Kindly register in order to view this article
!

474 PATI ditahan dalam tempoh 24 jam

Khairul Dzaimee Daud
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 474 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai warganegara telah ditahan dalam 124 Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di seluruh negara sejak semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, warga Indonesia telah mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 220 orang, diikuti warga China seramai 89 orang dan Bangladesh seramai 78 orang.

"Kita turut menahan 42 warga Myanmar, Filipina seramai 22 orang dan bakinya dari negara-negara lain," katanya melalui kenyataan media tadi.

Khairul berkata, majikan yang dikesan menggaji PATI boleh diambil tindakan perundangan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

"Seramai empat orang majikan turut ditahan dalam tempoh ini. Majikan juga boleh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran 2007(Pindaan 2010)(ATIP SOM) jika terdapat elemen-elemen paksaan atau eksploitasi pekerja," katanya.

Menurutnya, Imigresen telah memberikan tempoh yang secukupnya bagi PATI menyerah diri secara sukarela dan pulang melalui Program 'Back For Good' (B4G).

"Namun kesempatan ini tidak diambil sepenuhnya oleh PATI dan sesetengah majikan yang masih berdegil. Oleh itu, mereka bakal berhadapan dengan tindakan undang-undang jika dikesan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan ini," katanya.

Program B4G telah tamat kelmarin dengan jumlah 190,471 PATI mendaftar untuk pulang secara sukarela.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu Imigresen dalam melaksanakan penguatkuasaan diminta tampil menyalurkan maklumat tersebut.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus