Lelaki terlibat 30 kes pecah rumah diberkas

Mohd Zaidi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas hasil daripada aktiviti pecah rumah yang dilakukan suspek.
Mohd Zaidi (dua dari kiri) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas hasil daripada aktiviti pecah rumah yang dilakukan suspek.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang lelaki yang amat dikehendaki polis kerana terlibat dalam 30 kes pecah rumah akhirnya berjaya diberkas di sebuah rumah di Jalan Tuaran, di sini pada Sabtu lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, lelaki berusia 20 tahun terbabit turut didapati positif dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek yang juga penganggur mengaku melakukan kes pecah rumah dan premis perniagaan di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Penampang.

"Suspek melakukan kegiatan itu secara solo sejak tahun lalu dan kali terakhir berlaku pada di sebuah premis perniagaan di Likas pada 31 Disember lalu yang melibatkan kerugian RM7,000.

"Suspek yang positif dadah mempunyai 11 kesalahan lampau melibatkan kes curi, pecah rumah dan melupuskan barangan curi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.

Katanya lagi, secara keseluruhan anggaran kerugian yang dialami oleh semua mangsa hampir RM120,000.

"Pihak polis juga turut merampas beberapa barang hasil daripada aktiviti pecah rumah termasuk telefon bimbit, tablet, beg galas berjenama dan peralatan yang digunakan untuk memecah kediaman dan premis.

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan: