Kedah sasar kutipan hasil RM1 bilion dalam tempoh tiga tahun

Sanusi ketika berucap pada perhimpunan penjawat awam negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, pada Isnin.
Sanusi ketika berucap pada perhimpunan penjawat awam negeri Kedah di Dataran Wisma Darul Aman, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri giat meningkatkan kutipan hasil melalui pelbagai inisiatif untuk mencapai sasaran sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun atau Towards 1 Billion (T1B) dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif yang terdapat dalam undang-undang negeri yang belum dikuatkuasakan akan mula dilaksanakan bermula tahun ini.

Menurutnya, ia akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan semua daerah berasaskan kepada undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

“Bermula 1 Januari 2024, kerajaan negeri menguatkuasakan cukai petak bagi menggantikan cukai tanah ke atas hak milik strata. Setakat ini terdapat 196 skim dan 7,496 petak strata didaftarkan dan dikeluarkan daripada senarai hak milik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Kedah bersama Menteri Besar di Dataran Wisma Darul Aman, pada Isnin.

Sebahagian penjawat awam Kedah yang hadir dalam perhimpunan bersama Menteri Besar Kedah di Dataran Wisma Darul Aman.
Sebahagian penjawat awam Kedah yang hadir dalam perhimpunan bersama Menteri Besar Kedah di Dataran Wisma Darul Aman.

Sanusi menjelaskan, inisiatif lain termasuk mengenakan fi terhadap pemilik bangunan berusia lebih 20 hingga 30 tahun yang melanggar syarat bagi mengelak ia dirobohkan.

“Ketika itu PBT belum menguatkuasakan sepenuhnya peraturan itu. Tak kan kita nak roboh bangunan lama dalam pekan Alor Setar?

“Jadi kita adakan peraturan untuk sahkan kewujudan bangunan itu dan dikenakan fi tertentu, mengikut pelan sewajarnya dan termaktub dalam undang-undang. Bukannya kita pakai redah saja.

Artikel Berkaitan:

“Ia merupakan non revenue land, iaitu tanah milik kita tetapi tiada hasil sebab mereka tak bayar cukai. Inisiatif ini dijangka boleh cecah RM300 juta,” jelasnya.

Menurutnya, inisiatif lain termasuk menguatkuasakan sewaan ruang udara melalui penggunaan billboard.

“Banyak negeri telah kenakan caj sewa ruang udara, kita juga akan laksanakan. Langkah lain termasuk mengutip hasil dari jeti-jeti, fiber optik serta laluan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang belum dikuatkuasakan.

“Selain hasil-hasil baharu seperti unsur nadir bumi (REE) yang pernah disebut sebelum ini. Bukan sahaja REE, ada banyak lagi hasil-hasil baharu. Insya-ALLAH sasaran itu boleh dicapai,” jelasnya.

Sanusi berkata, kerajaan negeri akan berusaha memenuhi keperluan rakyat dan ia memerlukan dana yang besar selain komitmen semua jabatan dan agensi kerajaan.

“Dalam keadaan sekarang, hasrat itu masih sukar direalisasikan sepenuhnya memandangkan kutipan hasil negeri agak terhad. 65 peratus daripada kutipan adalah daripada hasil tanah, iaitu cukai, premium, fi dan royalti,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri telah meluluskan 5,718 geran hak milik dan 3,402 Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada pemohon sepanjang mentadbir negeri ini.

Pada November lalu, Kedah membentangkan Bajet 2024 berjumlah RM1.241 bilion dengan jangkaan defisit 13.92 peratus atau RM104.10 juta.

Bagi anggaran hasil, kerajaan negeri menganggarkan hasil RM748 juta, peningkatan sebanyak RM13 juta atau 1.77 peratus berbanding anggaran hasil pada tahun 2023.