Bekas Ketua Srikandi Bersatu Terengganu mengaku salah kemuka dokumen palsu

Roslilawati tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, pada Isnin.
Roslilawati tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Roslilawati Mukhtar mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan program Back To School pada 2020.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Komuniti Gemilang Terengganu berusia 45 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan, Roslilawati dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen suatu dokumen iaitu senarai nama 100 orang program Back To School bertarikh 17 Disember 2020 berjumlah RM5,000 yang mana tertuduh mengetahui bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

Tertuduh didakwa berbuat demikian di Ketengah Holding Sdn Bhd, Dungun pada 2020.

Roslilawati dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: