Bekas YDP MPS dilantik sebagai Datuk Bandar

Dari kanan Zazali, Kok Seong dan Mas Midyawan bersama barisan ahli MBS yang dilantik.
Dari kanan Zazali, Kok Seong dan Mas Midyawan bersama barisan ahli MBS yang dilantik.
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Datuk Zazali Salehudin, 59, dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) berkuat kuasa semalam.

Zazali Salehudin
Zazali Salehudin

Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, bekas Pegawai Daerah Jempol, Mas Midyawan Yahya pula dilantik sebagai Setiausaha MBS.

"Pelantikan kedua-dua mereka diputuskan oleh kerajaan negeri susulan penggabungan MPS dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) sebagai MBS.

"Majlis pengisytiharan MBS pula akan dibuat secara rasmi pada 20 Januari ini yang akan disempurnakan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir," katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah melibatkan seramai sembilan Ahli MBS di sini hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 24 ahli MBS akan dilantik terdiri dalam kalangan mereka yang berpengalaman sekurang-kurangnya setahun berkhidmat sebagai ahli majlis.

Beliau berkata, walaupun jumlah itu lebih rendah berbanding seramai 48 ahli MPS dan MPN yang dilantik sebelum ini, namun beliau yakin mereka akan dapat beri perkhidmatan terbaik pada rakyat.

"Ikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, kita hanya dibenarkan melantik 24 orang saja. Pada fasa pertama ini, seramai 10 orang dilantik dan selebihnya akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan dan MBS juga sedang rangka sesuatu supaya boleh benarkan lebih ramai lagi bekas ahli MPS dan MPN yang sudi berkhidmat untuk sama-sama menyumbang idea," katanya.

Sementara itu, beliau berharap kakitangan MBS dan ahli majlis dapat meningkatkan perkhidmatan dengan berusaha beri sistem penyampaian lebih baik kepada rakyat melalui penggabungan tersebut.

"Bila jadi Majlis Bandaraya ini, tanggungjawab itu lebih berat tambahan pula ekspektasi rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) amat tinggi.

"Kita bukan saja perlu sediakan perkhidmatan tapi perlu ada pemikiran lebih kreatif bagaimana mahu jadikan kawasan di bawah MBS ini lebih menarik termasuk tawar dasar yang benar-benar beri kesejahteraan pada rakyat," katanya