Penunggang motosikal cedera langgar belakang lori

Keadaan di lokasi kemalangan yang menyebabkan laluan sesak di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kulai.
Keadaan di lokasi kemalangan yang menyebabkan laluan sesak di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Kulai.
A
A
A

KULAI - Seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga lori di Kilometer 20.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, penunggang motosikal berusia 28 tahun itu cedera selepas motosikal ditunggangi melanggar belakang lori kontraktor pembersihan kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

"Akibat kemalangan itu, sebuah lori lain cuba brek selepas melihat kejadian namun dilanggar lori tangki dari arah belakang sebelum terbabas dan terbalik di tengah laluan," katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Mohamad Haitimi Ahmad berkata, nahas membabitkan sebuah motosikal, sebuah treler jenis Scania, sebuah lori 1 tan dan sebuah lori jenis Hino.

Menurutnya, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira 1.26 tengah hari tadi.

"Tiada mangsa yang tersepit dilaporkan. Pihak bomba membuat pembersihan jalan raya memandangkan terdapat kesan minyak di atas permukaan jalan raya.

"Operasi ditamatkan jam 2.10 petang tadi," katanya.

Terdahulu, tular rakaman suara meminta pengguna jalan raya agar menggunakan laluan biasa di Kulai bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di PLUS arah selatan disebabkan kemalangan itu.

Artikel Berkaitan:

Maklumat berkaitan kesesakan laluan itu turut dikongsi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam Facebook rasmi LLM.

“Status kemalangan KM20.4 arah selatan, lorong kanan arah selatan dibuka manakala arah utara lorong kanan dan kiri masih ditutup.

“Hanya lorong kecemasan boleh dilalui. Trafik sesak arah selatan 8km manakala arah utara sesak 5km,” kenyataan dipetik.