Dr Mahathir kongsikan idea koperasi di Jepun

Dr Mahathir Mohamad - Foto 123RF
Dr Mahathir Mohamad - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan idea mengenai kedai koperasi kampung di Jepun dan tertanya-tanya sama ada idea seumpama itu dapat dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia.

Memuat naik kisah itu dalam blog beliau, chedet.cc kelmarin dan dikongsikan dalam Facebook dan Twitternya semalam, Perdana Menteri berkata, kedai itu beroperasi dengan jayanya di pulau Okinawa.

Tulisnya, “Okinawa ialah sebuah pulau yang panjang dan sempit yang jaraknnya 100km dari utara ke selatan. Di zaman dahulu penduduk di selatan sukar untuk mendapatkan bekalan daripada utara.

“Penduduk di kampung itu memutuskan untuk mewujudkan sebuah kedai untuk memenuhi keperluan mereka. Mereka mengumpulkan wang daripada penduduk kampung dan membina sebuah kedai.

“Mereka mengupah seorang lelaki di kampung itu untuk menguruskan kedai itu. Wang diberikan oleh penduduk kampung bagi membeli barangan daripada utara untuk diisi di dalam kedai itu untuk keperluan mereka.

“Penduduk kampung membeli barang keperluan mereka tetapi tidak membayarnya serta-merta. Sebaliknya mereka tulis nama mereka dan barang yang diambil pada sekeping kertas.

“Setiap kali mereka perlukan barangan atau makanan, mereka tulis nama mereka pada sekeping kertas dan lekatkannya di papan kenyataan yang terdapat dalam kedai itu. Pada akhir bulan, mereka akan jumlahkan belian mereka yang tersenarai pada kertas itu dan membayar amaun yang perlu dibayar. Wang itu disimpan dalam peti simpanan.

“Kemudian apabila perniagaan kurang memberangsangkan, mereka meletakkan sebuah meja dan beberapa kerusi dan mula menjual minuman dan kopi. Setiap kampung akan mempunyai kedai kampung milik bersama ini. Ia seperti koperasi, dimiliki dan dikendalikan oleh penduduk kampung.

Artikel Berkaitan:

“Hari ini kebanyakannya sudah tiada berikutan akses kepada keperluan mereka menjadi semakin mudah disebabkan adanya jalan raya lebih baik, motosikal dan kereta. Sebuah kedai yang saya kunjungi adalah antara beberapa yang masih tinggal.

“Ia amat berjaya di Okinawa. Tertanya-tanya jika ia boleh dilaksanakan dengan jayanya di Malaysia.”

Ini antara perkara yang banyak kali diperkatakan oleh Dr Mahathir mengenai bagaimana rakyat boleh memanfaatkan koperasi.

Pada 21 September tahun lalu, semasa berucap kepada 20,000 ahli persatuan koperasi di Cyberjaya, beliau berkata, pergerakan koperasi boleh memainkan peranan penting dalam membantu isi rumah berpendapatan rendah di bandar dan luar bandar untuk berdepan dengan kenaikan kos hidup.

Beliau berkata, sumbangan koperasi tidak harus hanya dilihat dari segi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar sahaja tetapi juga meningkatkan kuasa beli rakyat ke arah mencapai wawasan kemakmuran bersama. - Bernama