1,000 pelajar sertai Musabaqah Cilik TaHa TH 

Para peserta yang mewakili wilayah masing-masing bergambar bersama Mohamed Ameen (belakang, tengah) selepas program Musabaqah Cilik TaHa anjuran TH. 
Para peserta yang mewakili wilayah masing-masing bergambar bersama Mohamed Ameen (belakang, tengah) selepas program Musabaqah Cilik TaHa anjuran TH. 
A
A
A
SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) baru-baru ini mengumumkan penerimaan 1,000 penyertaan untuk program tahunannya, Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023.

Acara itu diadakan di Dewan Besar TH, Menara TH Jalan Tun Razak,Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook rasmi TH.

Objektif utama Musabaqah Cilik TaHa 2023 adalah untuk memupuk budaya pembacaan al-Quran di kalangan pelajar sekolah dan melahirkan generasi yang mencintai al-Quran.

TH dalam satu kenyataan rasmi pada Khamis memaklumkan, program itu ditujukan khusus kepada pendeposit TH yang merupakan ahli Kelab TaHa, bagi membolehkan mereka menunjukkan potensi serta bakat dalam mengalunkan kalam Allah dalam al-Quran.

“Program Musabaqah Cilik TaHa menjadi wadah untuk menggali potensi dan bakat pelajar sekolah, serta untuk membina generasi yang memahami dan mencintai al-Quran,” jelas TH dalam kenyataan itu.

Muhammad Aqeef, 12, (dua dari kiri) menerima hadiah selepas meraih Johan Qari sempena program Musabaqah Cilik TaHa 2023 
Muhammad Aqeef, 12, (dua dari kiri) menerima hadiah selepas meraih Johan Qari sempena program Musabaqah Cilik TaHa 2023 



Program itu telah diadakan di setiap negeri seluruh Malaysia sejak bulan September tahun lalu dan telah mendapat sambutan amat positif dalam kalangan guru serta pelajar sekolah.

Johan qari dan qariah peringkat negeri kemudiannya akan bersaing di peringkat wilayah untuk merebut peluang mewakili wilayah masing-masing sama ada dari Wilayah Utara, Wilayah Tengah, Wilayah Selatan, Wilayah Timur dan Wilayah Sabah-Sarawak untuk peringkat kebangsaan.

Peserta yang terdiri daripada qari dan qariah dari lima wilayah berkenaan kemudiannya akan bersaing lagi untuk meraih Johan Kebangsaan Qari dan Qariah program Musabaqah Cilik TaHa 2023.

Artikel Berkaitan:


Dalam program Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023, peserta yang mewakili Wilayah Utara, Muhammad Aqeef Ahmad Zuhdi dinobatkan sebagai Johan Qari manakala Nur Qiesya Zhafirah Mohammad Ramdan yang merupakan peserta dari Wilayah Sabah-Sarawak dinobatkan sebagai Johan Qariah.

Kedua-dua mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan barangan cenderahati Kelab TaHa.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang program Musabaqah Cilik TaHa 2023 itu disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab, dan dihadiri oleh Pengarah TH Wilayah dan Negeri, ibu bapa peserta serta guru-guru.