[VIDEO] Pengawal keselamatan dibunuh: Anak-anak menangis rindu bapa

A
A
A

IPOH - Kematian seorang pengawal keselamatan yang dibunuh pada 3 Januari lalu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga apabila mereka kehilangan tempat bergantung.

Isteri mangsa, Nursyakinah Abdul Ghani, 33, berkata, keluarganya kini kehilangan sumber pendapatan kerana segala perbelanjaan hanya mengharapkan Allahyarham suaminya, Razis Jamal, 41.

Dia yang merupakan suri rumah tidak menyangka kejadian tragis itu menimpa suaminya yang dianggap tidak bermusuh dengan sesiapa.

Nursyakinah tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan peribadi Allahyarham ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Taman Tambun Baharu pada Sabtu.
Nursyakinah tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan peribadi Allahyarham ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Taman Tambun Baharu pada Sabtu.

"Arwah orang yang sangat baik dan begitu penyayang dengan anak-anak. Apabila balik kerja, dia akan bersama dengan anak-anak. Kalau cuti, anak-anak akan dibawa pergi memancing berhampiran dengan rumah.

"Sepanjang mengenali dan berkahwin selama 14 tahun dengan arwah, dia tak pernah ada musuh dengan sesiapa. Dia bukan jenis suka keluar lepak dengan kawan-kawan. Kalau berkawan pun sebab nak pergi memancing," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Rumah Pangsa Taman Tambun Baharu di sini pada Sabtu.

Nursyakinah bersama anak-anaknya yang kini hilang tempat bergantung.
Nursyakinah bersama anak-anaknya yang kini hilang tempat bergantung.

Nursyakinah berkata, anak-anak amat merasai kehilangan Allahyarham kerana mereka sangat rapat dan sejak beberapa hari lalu anak-anaknya, Muhammad Haziq Fitri, 12, Muhammad Fitri Hakim, 9, dan Fatin Nur Aina, 7, menangis sebelum tidur malam kerana rindu bapa mereka.

Artikel Berkaitan:

Dia juga terpaksa mengharapkan bantuan pihak berkaitan kerana tidak dapat bekerja disebabkan anak paling kecil, Nur Khayla Damia masih berusia enam bulan.

"Setakat ini saya terima beberapa sumbangan antaranya daripada majikan, Pejabat Ahli Parlimen Tambun, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta dan beberapa pihak lain. Saya hanya fikirkan perbelanjaan anak-anak dan rumah. Makan itu kami tak kisah sangat sebab dah biasa susah.

Razis yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh disifatkan sebagai seorang ayah yang baik dan penyayang.
Razis yang ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh disifatkan sebagai seorang ayah yang baik dan penyayang.

"Saya amat berharap kematian suami saya dapat pembelaan sewajarnya. Si pelaku mesti dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana kami sekeluarga hilang kasih sayang seorang suami dan ayah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Hulu Kinta, Ashraf Kahasani yang ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan menyatakan komitmen untuk membantu memenuhi segala keperluan ibu tunggal tersebut.

Jelasnya, kesusahan yang dihadapi Nursyakinah sekeluarga akan dipanjangkan ke pengetahuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan agensi berkaitan.

Selain itu katanya, keperluan persekolahan anak-anak Allahyarham juga akan turut diberikan perhatian termasuk dari segi pakaian, yuran dan sebagainya.

Dalam pada itu, orang ramai yang ingin membantu boleh juga menyalurkan sumbangan menerusi akaun RHB Bank bernombor 10801600720619 atas nama Nursyakinah binti Abdul Ghani.

Pada 3 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pengawal keselamatan ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah tapak perkhemahan di Gunung Lang di sini.

Keadaan mangsa disedari orang awam sebelum memaklumkan kepada pihak polis sekitar jam 2.30 pagi.

Susulan kejadian itu seorang suspek berusia 31 tahun diberkas bagi membantu siasatan dan direman selama tujuh hari bermula 4 Januari.