King Sing jawab tuduhan makan babi, minum arak di pejabat

Datuk Seri Tiong King Sing
Datuk Seri Tiong King Sing
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing tampil mempertahankan diri dan menangkis dakwaan mengatakan beliau minum alkohol dan makan daging babi di pejabat sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini.

Malah, beliau mencabar pihak berkenaan supaya tidak bersembunyi di belakang papan kekunci untuk menyebarkan fitnah atau khabar angin tersebut.

Menurutnya, individu itu diminta untuk tampil ke pejabat bagi menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang lebih bermaruah.

“Sekiranya tidak menerima tawaran saya, kita boleh menganggap yang mereka takut pembohongan akan terbongkar.

“Sudah tentu, saya tidak akan menolak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja yang terus menyebarkan pembohongan dan fitnah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

King Sing turut menegaskan, sekiranya terdapat pihak yang cuba membangkitkan perbalahan kaum untuk merosakkan reputasinya, individu berkenaan benar-benar tidak menghormati kumpulan etnik.

Beliau turut menyifatkan mereka seolah-olah turut memberi kutukan kepada keamanan dan kestabilan sosial.

“Kandungan mesej itu menyinggung perasaan dan sensitif terhadap perkauman dengan percubaan yang jelas untuk menghasut kebencian kaum.

Artikel Berkaitan:

"Ia perlu ditangani segera supaya orang ramai dapat mengelakkan kekeliruan daripada perkara sebenar,” tambahnya.

Sementara itu, King Sing turut menjawab isu mengenai penyimpanan air beralkohol di pejabat sebagai hadiah yang diterima daripada tetamu luar negara pelbagai latar belakang.

“Sebagai wakil pejabat awam, saya tidak boleh menolak hadiah ini, tetapi pada masa sama, ia tidak sesuai untuk saya membawanya pulang ke rumah.

“Seboleh-bolehnya, kami berusaha untuk memindahkan hadiah tersebut kepada penerima lain seperti pegawai asing atau tetamu semasa makan atau acara santai. Apa yang salah dengan semua ini?” ujarnya.

Beliau juga memberitahu bahawa makanan yang hampir sama sepanjang masa dihidangkan seperti nasi lemak atau nasi beriani, sama ada makan sendiri mahupun ketika menerima lawatan tetamu di pejabat.

“Apabila kita menjadi tuan rumah bagi tetamu asing seperti dari China pun, kita akan memesan makanan dari restoran Cina di hotel-hotel sekitar Putrajaya.

“Makanan restoran Cina di hotel mana yang menyajikan hidangan daging babi? Sekiranya penuduh tahu, kami dengan senang hati ingin mereka mengesyorkan,” katanya.