Muhyiddin jawab tuduhan kontrak publisiti RM500 juta

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan membelanjakan RM500 juta bagi kontrak publisiti dan pengiklanan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai suatu pembohongan.

Muhyiddin berkata, ia bercanggah dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali di Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu yang menyatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya membelanjakan RM181,752.20 untuk penjenamaan.

“Sedangkan Kerajaan Madani pimpinan Anwar yang tidak sampai setahun memerintah pada ketika itu berbelanja sebanyak RM489,216 jawapan bertulis juga menyebut Keluarga Malaysia membelanjakan sebanyak RM62 juta bagi tujuan sama.

“Armizan turut menjelaskan satu program sahaja dilaksanakan semasa pentadbiran PN memandangkan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau membalas kenyataan Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa yang mana menurutnya kerajaan telah membelanjakan RM700 juta sejak 2020 hingga 2022 untuk promosi, iklan dan publisiti.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan, sewaktu Dewan Rakyat bersidang pada 25 Mei lalu, Armizan memaklumkan tentang perbelanjaan terkini bagi program Malaysia Madani termasuk pengiklanan dan promosi sebanyak RM7.4 juta.

“Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang meminta Anwar menyatakan pecahan perbelanjaan dibelanjakan sehingga kini bagi tujuan promosi dan pengiklanan jenama Malaysia Madani di seluruh negara.

“Kenyataan ini dibuat sendiri oleh menteri Kerajaan Madani di Parlimen. Nampaknya, Anwar membuat kenyataan yang tidak munasabah dan bercanggah dengan menteri di Parlimen,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menjelaskan, penggunaan papan iklan besar, televisyen dan radio ketika beliau mentadbir negara bertujuan menyampaikan pesanan bahaya mengenai Covid-19, Pakej Rangsangan Ekonomi serta bantuan rakyat.

“Walaupun pada awal tahun ini iaitu 29 April lalu, Anwar berjanji tidak akan membazirkan wang negara dengan memasang papan iklan besar namun lihatlah hari ini, papan iklan gergasi Madani terpampang di merata tempat.

“Justeru, kenyataan Anwar yang memetik sejumlah angka sebegitu besar kononnya dibelanjakan oleh kerajaan pimpinan saya untuk tujuan promosi adalah satu tuduhan liar bagi memburuk-burukkan imej PN di mata rakyat,” ulas Muhyiddin lagi.