[VIDEO] KPKT tidak pernah keluar lesen niaga kepada warga asing

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak pernah mengeluarkan lesen kepada warga asing untuk mereka menjalankan perniagaan termasuk membuka gerai.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan tegas terhadap semua perniagaan yang dikendalikan secara haram oleh warga asing tanpa izin.

Kata beliau, PBT telah melaksanakan sebanyak 1,539 operasi penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang melibatkan warga asing bagi tahun 2022 sehingga 31 Oktober tahun lalu.

"Sehingga kini, sebanyak 26,108 lesen peniaga telah dibatalkan atas sebab pelanggaran syarat-syarat lesen/premis yang dibuat oleh PBT.

"KPKT juga bersedia dan akan memberi kerjasama padu dengan kementerian lain dalam program turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing," katanya.

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah PAM-MBSP Pertandingan Idea Rekabentuk Senibina Pasar Awam Bukit Mertajam di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai di sini pada Khamis.

Kor Ming turut menegaskan, kerajaan sentiasa konsisten dalam isu tersebut dan sentiasa membela keselamatan serta kesejahteraan masyarakat tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Oleh demikian, KPKT menerusi PBT tidak pernah mengeluarkan lesen kepada pendatang tanpa izin untuk buka sebarang perniagaan sama ada gerai mahu pun kedai.

"Jika kita mengesyaki ada pendatang tanpa izin menyalahguna premis atau salah guna lesen yang dikeluarkan oleh PBT, kita akan membatalkan lesen serta merta selain tindakan tegas akan diambil," katanya.