Tingkatkan lagi operasi serbu warga asing

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di ibu negara baru-baru ini.
Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di ibu negara baru-baru ini.
A
A
A

BARU-BARU ini media melaporkan 'mini Dhaka' di Jalan Silang diserbu dengan 1,101 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat dalam operasi besar-besaran membabitkan lebih 1,000 anggota dan pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

Operasi itu bagi menangani kebanjiran warga asing dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing di kawasan itu.

Pasukan keselamatan lengkap bersenjata dan peralatan khas memecah masuk ke setiap premis membabitkan empat blok di jalan terbabit.

Pemeriksaan di salah satu premis mendapati warga asing yang menjalankan perniagaan agensi pelancongan turut menawarkan khidmat klinik persendirian.

Turut ditemui pelbagai jenis ubatan disyaki dari Bangladesh tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, serbuan turut dijalankan di sebuah premis yang dijadikan sebagai bilik sewa dipercayai dihuni warga asing dilihat berada dalam keadaan berselerak, kotor dan jijik.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya menyerbu sebanyak 60 premis di sekitar jalan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Penulis menyokong penuh usaha penguatkuasaan dan pemutihan kawasan yang menjadi penempatan warga asing dilakukan secara besar-besaran.

Ini kerana, apabila sesuatu tempat sudah menjadi perkampungan mereka, ia menjadi sukar untuk dipulihkan seperti terjadi pada kawasan Pasar Borong Selayang yang sehingga kini kebanjiran warga asing di kawasan itu tidak berkesudahan.

Kebanjiran mereka tidak disambut baik oleh penduduk tempatan kerana sikap mereka yang tidak mahu belajar budaya kita, sampai bela kambing dalam rumah pun boleh.

Jika masuk ke kawasan komersial Pusat Bandar Utara, Selayang, bekas ludahan sireh bersepah merata-rata dan memenuhi dinding serta laluan pejalan kaki.

Pengalaman penulis sendiri merasakan suasana kawasan itu kotor dan tidak selamat.

Kawasan itu agak menyeramkan, mahu berurusan di bank pada waktu siang pun rasa takut-takut, apatah lagi berada di kawasan itu pada waktu malam.

Penulis juga pernah membuat liputan beberapa kes pembunuhan berpunca pergaduhan sesama mereka selain aduan kacau ganggu di kawasan pangsapuri di sana beberapa tahun lalu.

Kebanyakan premis di kawasan itu juga meragukan, terdapat kedai makan dan kedai runcit diusahakan warga asing berlindung di sebalik pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Walaupun penguatkuasaan telah dilakukan namun terlalu sukar untuk kawasan itu dipulihkan.

Tidak dinafikan, penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) ada menjalankan operasi namun bidang kuasa mereka terhad, tidak cukup kuat menghalau PATI tanpa sokongan agensi berkaitan lain khususnya Jabatan Imigresen.

Penulis berpandangan operasi besar-besaran perlu diteruskan, lebih baik mencegah daripada merebak menjadi perkampungan Rohingnya di Selayang.

Kita tidak boleh menidakkan mereka juga antara penyumbang kepada masalah yang boleh menyebabkan imej Malaysia tercalar apabila mereka sesuka hati berniaga jagung di depan KLCC, menjaja tepi jalan, bermotosikal roda tiga mencari besi buruk serta menjadi peminta sedekah di simpang lampu isyarat.

Tindakan lebih tegas perlu diambil terhadap mereka, jika rakyat Malaysia boleh ikut dan patuh undang-undang negara maka tak wajar mereka berstatus warga asing bermaharajalela di negara orang.

Penulis bimbang jika isu ini dibiarkan berlarutan, rakyat sendiri yang akan bertindak agresif menerjah penempatan warga asing seperti yang berlaku di negara jiran apabila sekumpulan pelajar Indonesia menyerbu sebuah kem pelarian Rohingya yang menempatkan ratusan pelarian Rohingya di Banda Aceh.

*Norafiza Jaafar ialah wartawan Sinar Harian