JAIS digesa siasat 'zikir menari' tular di TikTok

Tular video di TikTok memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita duduk berselawat sambil menggoyangkan badan dan tangan. Gambar kecil: Mohamad Fahmi
Tular video di TikTok memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita duduk berselawat sambil menggoyangkan badan dan tangan. Gambar kecil: Mohamad Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta menyiasat berhubung tular video di TikTok membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita berzikir beramai-ramai seolah-olah menari yang berlaku di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata, siasatan perlu dijalankan sama ada pelaksanaan program atau upacara itu mempunyai elemen atau amalan pemujaan yang menyimpang dan bertentangan dengan syarak.

"JAIS sewajarnya menyiasat sama ada perkara itu berlaku atau tidak dan jika ada elemen-elemen bertentangan dengan syarak, maka ia memang tidak patut dibenarkan, dan diambil tindakan tegas" katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Mohamad Fahmi memberitahu, setakat ini beliau tidak mempunyai maklumat lengkap mengenai amalan zikir sambil menari seperti yang dipaparkan di TikTok itu.

Beliau memberitahu, berdasarkan video yang dilihatnya kemungkinan ia berbentuk selawat dalam kalangan masyarakat Acheh, Indonesia atau komuniti mereka yang berada di negara ini.

"Saya juga sudah menghantar video kepada JAIS untuk membuat siasatan lanjut," ujar beliau.

Mohd Shahzihan
Mohd Shahzihan

Sementara itu, Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penganjur program selawat seperti itu sepatutnya mendapatkan kebenaran daripada JAIS.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, JAIS memandang serius aduan terbabit terutama apa jua perkara yang boleh menimbulkan fitnah kepada agama.

"Kadang-kadang dari segi cara tidak ada masalah, tetapi kadang-kadang pembawaan itu boleh menjadi fitnah.

"Contohnya berzikir di kubur sambil bergoyang-goyang mungkin hukumnya ada, tetapi kita tidak terima sebab boleh menyebabkan fitnah kepada agama," jelas beliau.

Beliau memberitahu, JAIS meminta orang ramai supaya merujuk kepada pihak berkuasa agama itu terlebih dahulu berhubung hal ehwal Islam di Selangor.

"Kita bimbang ada taasub tak kiralah siapa, tetapi kalau sandarannya taasub kita tidak akan benarkan.

"Selawat boleh sahaja tanpa menari, kenapa hendak menari?," tambah beliau.

Sebelum ini tular video berdurasi 33 saat di TikTok memaparkan sekumpulan lelaki dan wanita duduk berselawat sambil menggoyangkan badan dan tangan dipercayai berlaku di negeri ini.

@sinarharianonline Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diminta menyiasat berhubung tular video di TikTok membabitkan sekumpulan lelaki dan wanita berzikir beramai-ramai seolah-olah menari yang berlaku di negeri ini. Exco Hal Ehwal Agama Islam Selangor, Dr Mohamad Fahmi Ngah berkata, siasatan perlu dijalankan sama ada pelaksanaan program atau upacara itu mempunyai elemen atau amalan pemujaan yang menyimpang dan bertentangan dengan syarak. #fyp#beritaditiktok#SinarTerkini#JAIS#Zikirmenari original sound - Sinar Harian