Malaysia perlu beri keutamaan isu sekuriti air

ZAKI mengambil sampel air di Sungai Johan, Perak baru-baru ini.
ZAKI mengambil sampel air di Sungai Johan, Perak baru-baru ini.
A
A
A

PAKAR kualiti air, Dr Zaki Zainudin berkata, teknologi rawatan air yang maju ‘dikuasakan’ Denmark bukan sahaja berupaya mengatasi masalah pencemaran malah berjaya mengawal isu keselamatan dalam konteks sekuriti air dengan bijak.

“Dua elemen itu harus kita fahami kerana ia bersangkut-paut dengan isu pencemaran hingga mengakibatkan gangguan bekalan air seperti di negara kita baru-baru ini.

“Ia sebenarnya bukan kerana teknologi rawatan air yang diguna pakai ketika ini kurang mantap tetapi ada isu lebih besar lagi,” katanya kepada e-Trend baru-baru ini.

Menghuraikan lebih lanjut, ujar Zaki, Malaysia masih menggunakan teknologi rawatan air konvensional standard yang sama diguna pakai negara maju seperti Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, saya lihat, sistem pengurusan lembangan sungai masih lemah dan tiada pelan sandaran jika berlaku insiden seperti pencemaran sungai sehingga menyebabkan berlaku gangguan bekalan air yang berulang.

PENGGUNA menadah air daripada 12 paip air yang disediakan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berikutan gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini.
PENGGUNA menadah air daripada 12 paip air yang disediakan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berikutan gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini.

“Aspek sekuriti air perlu dititikberatkan kerana isu itu melangkaui semua, bukan setakat pencemaran sungai sahaja dan perlu ada pelan b atau c jika berlaku insiden tidak diingini,” ujarnya sambil menambah isu gangguan bekalan air yang berlaku baru-baru ini boleh diatasi sekiranya pelan (sandaran) iaitu menggunakan sumber air di tasik di Putrajaya sebagai bantuan sokongan dapat diimplemenkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di negara-negara maju tertentu, lazimnya para pemerintah akan mewartakan kawasan tadahan air tanpa sebarang bentuk pembangunan bagi mengelakkan berlaku pencemaran sumber.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun jika melihat keadaan di Semenyih yang semakin maju dengan pembangunan industri, pastinya isu pencemaran sukar dikawal dan insiden akan berulang-ulang kali.

“Sebab itu, sangat penting kita utamakan isu sekuriti air lebih-lebih insiden pencemaran sungai kerap berlaku di kawasan Lembah Klang yang menjadi pusat pentadbiran, politik dan industri,” katanya yang mencadangkan agar kerajaan Malaysia memantapkan lagi pengurusan lembangan sungai dan perlu mewartakan kawasan tadahan supaya bebas daripada pencemaran.