Penemuan mayat bayi: Pembantu rumah Indonesia ditahan

Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di belakang rumah jiran majikannya, di Taman Mutiara di sini, pada 30 Disember lepas. - Gambar hiasan
Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di belakang rumah jiran majikannya, di Taman Mutiara di sini, pada 30 Disember lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Polis menahan seorang pembantu rumah warga Indonesia bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki yang ditanam di belakang rumah jiran majikannya, di Taman Mutiara di sini, pada 30 Disember lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Baeyah Abdul Wahab berkata, tangkapan ke atas wanita berusia 28 tahun itu, dibuat dalam serbuan di rumah majikannya pada jam 2.20 petang 30 Disember selepas menerima laporan orang awam berkaitan penemuan satu mayat bayi lelaki di kawasan belakang rumah itu pada jam 11.01 pagi, hari sama.

"Siasatan awal mendapati, bayi lelaki yang ditemukan tertanam pada kedalaman lima inci dan kawasan tersebut juga merupakan tempat terbuka dan tidak berpagar.

"Bayi ditemukan dengan masih bertali pusat dan beruri dengan dibalut kain berwarna putih. Bayi lelaki ini ditanam di belakang rumah jiran sebelah rumah majikannya,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Baeyah berkata, hasil soal siasat yang dijalankan, wanita itu dipercayai telah menanam bayi lelaki tersebut selepas mendapati bayi itu tidak lagi bernyawa selepas melahirkannya secara berseorangan dalam rumah majikannya itu.

"Suspek melahirkan bayi ini pada 20 Disember lepas, waktu tengah hari, dan kemudian 21 Disember dia menanam bayi ini dalam jam 6.30 pagi, dan hasil siasatan kita mendapati sewaktu kejadian majikannya yang merupakan pasangan suami isteri berniaga, berada di luar Kangar, ke Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati majikannya tidak menyedari wanita itu mengandung, kerana perutnya tidak menampakkan seperti wanita mengandung dan suspek itu datang bekerja di Malaysia pada Mei tahun lepas.

Katanya, suspek itu direman hingga 5 Januari nanti yang bermula 31 Disember lepas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Baeyah berkata, mayat bayi lelaki itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat dan tiada sebarang kecederaan luaran ditemukan, manakala bahagian organ dalaman pula mengalami kesan pereputan teruk. - Bernama