Israel 'heret' Lubnan, ancaman perang serantau?

Serangan dron yang meragut nyawa al-Arouri (gambar kecil) di daerah Dahiyeh di pinggir Beirut pada Selasa. Foto Agensi
Serangan dron yang meragut nyawa al-Arouri (gambar kecil) di daerah Dahiyeh di pinggir Beirut pada Selasa. Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dengan angkuh menyatakan ia bersedia dengan sebarang senario selepas serangan dron yang meragut nyawa Timbalan Ketua Biro Politik Hamas di Beirut.

Ia sekali gus mencetuskan kebimbangan perang Gaza yang berlarutan selama tiga bulan berisiko merebak menjadi konflik serantau.

Jurucakapnya, Daniel Hagari berkata, mereka kononnya sentiasa siap siaga untuk menghadapi apa juga kemungkinan setelah kematian tokoh berprofil tinggi, Saleh al-Arouri bersama sejumlah pembantunya pada Selasa mengundang kemarahan Paksi Penentangan anti-Israel.

Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan menegaskan insiden itu tidak membawa erti kekalahan kepada mereka selepas sekutunya, Hizbullah berikrar pihak bertanggungjawab tidak akan terlepas daripada hukuman.

Menurut Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh, pemimpin perjuangan itu yang gugur syahid demi maruah penduduk Palestin dan mereka akan tetap mempertahankan wilayah berkenaan.

Hizbullah juga percaya serangan menyasarkan al-Arouri adalah kesinambungan daripada pembunuhan pemimpin Pasukan Quds di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), Brigadier Jeneral, Seyyed Razi Mousavi.

“Ia adalah satu bentuk serangan serius ke atas Lubnan dan perkembangan berbahaya kepada situasi di rantau ini.

“Jenayah kejam itu hanya akan meniup lagi api semangat dalam kalangan pejuang kami untuk mencapai kemenangan bagi menentang pendudukan Israel,” tegas gerakan berpusat di Beirut itu.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati juga mengutuk pembunuhan tersebut yang didakwa sebagai provokasi keterlaluan untuk mengheret Beirut ke kancah peperangan.

Pada Ogos 2023, al-Arouri pernah memberi respons terhadap ancaman rejim Zionis yang mahu menghapuskan pemimpin Hamas.

“Saya sedang menunggu untuk gugur syahid kerana saya rasa telah hidup terlalu lama,” katanya. - Agensi


Info:

>Sebelum ini, Al-Arouri turut terlibat dalam proses rundingan pembebasan pertukaran tahanan yang dikendalikan Qatar dan Mesir.

>Beliau merupakan pengasas bersama sayap ketenteraan Hamas, Briged al-Qassam.