Kematian doktor gigi, suami masih klasifikasi sebagai SDR

Laporan Sinar Harian berkenaan doktor gigi dan suaminya ditemui mati di kondominium
Laporan Sinar Harian berkenaan doktor gigi dan suaminya ditemui mati di kondominium
A
A
A

SEREMBAN - Polis masih mengekalkan klasifikasi kematian seorang doktor gigi dan suaminya yang ditemukan di rumah mereka di kondominium Jalan Keliling di sini pada Selasa sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil bedah siasat yang dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini, mendapati keputusannya masih belum dipastikan.

"Bedah siasat sudah dijalankan di HTJ pagi tadi dan mendapati keputusannya 'undetermined'. Ia memerlukan analisis lanjut di makmal kimia sebelum mendapat keputusan.

"Buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai SDR berdasarkan siasatan di tempat kejadian dan pemeriksaan pada tubuh badan kedua-dua si mati yang mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang dikesan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, polis menerima maklumat mengenai kematian wanita berusia 31 tahun dan suaminya berusia 34 tahun yang merupakan warga asing pada jam 12.49 tengah hari.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua mereka adalah suami isteri yang mana lelaki terbabit berkhidmat sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah antarabangsa Port Dickson manakala isterinya, doktor di sebuah klinik pergigian di Linggi.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Adi Khusaini Saripudin di talian 012-770 7282 atau Ibu Pejabat Daerah Seremban di 06-6033 222.

Artikel Berkaitan: