Proton Saga catat jualan tertinggi 2023

Proton Saga
Proton Saga
A
A
A

PENUTUP tirai tahun 2023 menyaksikan Proton Saga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi model paling laris keluaran Proton mencatatkan jualan 70,184 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, rekod jualan tertinggi itu merupakan prestasi terbaik Proton Saga sejak tahun 2012, dan meletakkannya sebagai kenderaan keempat terlaris di Malaysia untuk tahun 2023.

“Pertumbuhan volum yang luar biasa untuk tahun ini iaitu 25.6 peratus terdiri terutamanya daripada pembeli kereta kali pertama yang mahukan kenderaan yang selamat dan boleh dipercayai yang juga menyeronokkan untuk dipandu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Roslan berkata, model sedan segmen B, Proton Persona ditangga kedua dengan 24,362 unit terjual.

“Selepas mengalami kelewatan teruk akibat kekurangan cip pada tahun 2022, jualan untuk sedan segmen B itu melonjak semula sebanyak 48.9 peratus meletakkan model itu di tempat kedua dalam kelasnya.

Roslan Abdullah
Roslan Abdullah

“Kereta hatchback segmen B, Proton Iriz turut terjejas oleh isu cip tahun lepas dan mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 33.8 peratus kepada 7,639 unit pada tahun 2023,” katanya.

Beliau yang juga timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, Proton Exora mengakhiri pengeluarannya dengan kenaikan jualan sebanyak 4.6 peratus, iaitu 4,473 unit terjual dan menunjukkan bahawa permintaan di kalangan pembeli pasaran sasaran kekal kukuh.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini, lebih 194,000 unit telah terjual, menjadikannya MPV segmen C paling berjaya dalam sejarah automotif Malaysia,” katanya.

Jelasnya, bagi SUV siri X, Proton X50 dan Proton X90 mengakhiri tahun sebagai peneraju pasaran bagi segmen masing-masing.

“Walaupun selepas lebih 100,000 unit telah dikeluarkan dan dijual, permintaan untuk Proton X50 kekal kukuh dengan 31,829 unit dijual di Malaysia dan pasaran eksport pada tahun 2023.

“Proton X90 pula terus menjadi kuasa dominan dalam pasaran SUV segmen D dan mengakhiri tahun dengan 4,815 unit terjual sejak dilancarkan pada 7 Mei 2023. 4

“Akhirnya, Proton X70 merupakan SUV segmen C kedua paling popular bagi tahun 2023 dengan 11,200 unit terjual,” ujarnya,

Mengulas lanjut mengenai prestasi keseluruhan Proton, tahun 2023 merupakan prestasi jualan terbaiknya sejak tahun 2012 apabila ia mencapai pertumbuhan jualan bagi lima tahun berturut-turut.

“Sebanyak 12,711 unit telah dijual pada bulan Disember untuk meningkatkan jumlah jualan akhir tahunnya kepada 154,611 unit (domestik eksport), peningkatan sebanyak 9.3 peratus berbanding 141,432 unit yang dijual pada 2022.

“Pegangan pasaran keseluruhan syarikat dijangka sebanyak 19.4 peratus dibelakang jumlah volum industri yang dianggarkan 794,948 unit, lebih kurang 10.3 peratus lebih daripada tahun sebelumnya.

Tambahnya lagi, Proton turut menamatkan tahun 2023 di tempat kedua dalam jualan keseluruhan, yang juga merupakan tahun kelima berturut-turut ia mengekalkan kedudukannya.