Wanita dipukul suami gara-gara tutup pintu kuat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Perselisihan faham dipercayai menjadi punca seorang lelaki memukul isterinya di sebuah rumah di Taman Maju Jaya di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian jam 2 pagi itu, suspek berusia 45 tahun tidak berpuas hati apabila isterinya menutup pintu dengan kuat.

"Kemudian berlaku pertengkaran antara pasangan tersebut, suspek bertindak memukul isterinya dengan menggunakan tangan.

"Akibat daripada kejadian itu, wanita berusia 40 tahun tersebut mengalami sakit dan lebam di bahagian tangan, kaki serta badan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan pegawai perubatan Hospital Ampang mendapati mangsa mengalami kecederaan 'soft tissue injury' pada tangan, jari tengah dan kaki kanan.

"Lelaki tersebut telah ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada jam 5.25 petang Selasa, untuk membantu siasatan.

"Hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah dan semakan lanjut tiada rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!