5,646 ditahan, pelbagai barang bernilai RM979.89 juta dirampas

Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali
Pengarah JKDNKA, Datuk Seri Hazani Ghazali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 5,646 individu dan pelbagai rampasan dibuat membabitkan nilai keseluruhan RM979.89 juta dalam operasi bersepadu sepanjang tahun lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, ia membabitkan 7,355 kes yang dilaporkan dalam tempoh berkenaan.

"Jumlah itu membabitkan kejayaan dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan nilai rampasan sebanyak RM384.23 juta, Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) membabitkan rampasan bernilai RM301.84 juta," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Pasukan Polis Marin turut membuat rampasan berjumlah RM254.33 juta manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) merekodkan rampasan RM37.83 juta.

“Tahun lalu memberi lebih cabaran berbanding tahun sebelumnya namun banyak kejayaan dilakar melalui peranan setiap unit serta cawangan di jabatan itu.

“Justeru, kita akan meningkatkan dan memperkukuhkan lagi keselamatan negara sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga fokus utama termasuk memperkukuh penguatkuasaan keselamatan di sempadan dan perolehan aset moden.

"Antara lain adalah menjamin keselamatan khazanah negara dan keterjaminan sekuriti makanan dengan memperkasa jaringan kolaborasi pelbagai agensi.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga memfokuskan kepada keselamatan perbatasan dan pemantauan penguatkuasaan undang-undang darat serta maritim, ia dengan mewujudkan 'Forward Operation Base (FOB)' selain kerjasama jabatan berkaitan," katanya.

Hazani berkata, pihaknya sentiasa komited dalam usaha mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam, selain bertumpu isu ketenteraman jabatan itu turut terbabit pengurusan bencana.

“Operasi bersepadu bersama-sama agensi penguatkuasaan yang lain akan diteruskan dari masa ke semasa.

“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis amatlah kepada pihak polis amatlah digalakkan agar kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya serta ketenteraman awam sentiasa terjamin," ujarnya.