Tak cukup Langkah Sheraton, Langkah London ada pula Langkah Dubai

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

ANGIN tak ada ribut tidak ada tiba-tiba pokok bergoyang dengan kuat. Pelik bukan? Tapi itulah realiti yang berlaku dalam politik di Malaysia Sekarang.

Tiba-tiba satu negara bercakap fasal konspirasi baharu nak jatuhkan kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tak cukup Langkah Sheraton, Langkah London ada pula Langkah Dubai. Entah betul, entah tidak.

Merak Jalanan nak tergelak pun ada. Mungkin yang bercakap fasal Langkah Dubai ini baru lepas minum ketum.

Sedangkan PM sendiri yakin ‘projek tebuk atap’ tidak akan berhasil kerana pentadbirannya mempunyai ‘bumbung’ yang kukuh. Jadi kenapa nak bimbang?

Dalam keadaan pembangkang semakin kehilangan sokongan dan setakat ini sudah lima ahli Parlimennya memberi sokongan kepada Anwar, tiba-tiba pula yang ada percaya kerajaan hendak dijatuhkan.

Langkah apa pun untuk menjatuhkan kerajaan buat masa ini adalah tidak relevan untuk diusahakan kerana mustahil boleh dijadikan kenyataan.

Merak Jalanan teringat kisah anjing dengan bayang-bayang. Suatu hari, seekor anjing terjumpa dengan seketul tulang besar. Anjing sangat gembira dan berlari-lari sambil menggonggong tulang itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perjalanan, anjing melalui sebuah titi pada sungai yang dalam dan sangat jernih.

Anjing memandang ke arah sungai di bawahnya dan ternampak bayang-bayangnya yang disangkakan anjing lain yang juga membawa tulang.

Kerana tamakkan tulang itu, anjing itu menyalak dan menerkam ke anjing di dalam sungai.

Akibatnya, anjing itu basah kuyup dan tulang di dalam mulutnya terlepas ke dasar sungai.

Hakikatnya, rakyat sudah bosan dengan politiking berlebihan. Jangan jadi macam anjing. Anjing menyesal kerana terlalu tamak. Akibatnya dia yang rugi.

Jadi orang politik jangan tamak dan paling penting, jangan takut dengan bayang-bayang sendiri!